Harimau Malaya Tewas 0 -10: "Dia Bukan Punca", Wan Jamak Bela Dollah

Dollah Salleh
Jurulatih bola sepak tempatan yang pernah membimbing skuad Harimau Malaya, Wan Jamak Wan Hassan berkata, kekalahan besar 0-10 Malaysia di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bukanlah keseluruhannya berpunca daripada Dollah Salleh.

Kata Wan Jamak, tidak terkecuali Dollah, tekanan hebat yang dihadapi sebagai jurulatih skuad kebangsaan sungguh berbeza, lebih-lebih lagi apabila dihimpit kekalahan besar seperti itu.

“Dollah sememangnya cemerlang di peringkat negeri malah tidak dinafikan beliau merupakan seorang jurulatih yang berkaliber.

“Tetapi tekanan dan perasaan yang dialami semasa skuad kebangsaan memang jauh berbeza lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan kritikan daripada penyokong dan mata-mata antarabangsa,” katanya.

Menurut Wan Jamak lagi, pemain-pemain yang kurang bermutu turut menjadi punca Harimau Malaya tidak mendapat sentuhan yang sempurna.

“Kurangnya disiplin dalam diri pemain dan tidak berusaha memajukan diri merupakan sebab mengapa Malaysia tidak dapat berdaya saing dengan pasukan bertaraf antarabangsa yang lain.

“Perkara ini yang sebenarnya menyulitkan lagi tugas Dollah bagi meraih kejayaan dalam arena bola sepak yang mundur ini,” katanya yang dipetik dari Sinar Harian, hari ini.

Sementara itu, bekas pemain kebangsaan, Khalid Ali pula meluahkan pandangan bahawa kejatuhan arena bola sepak negara adalah berpunca daripada kurangnya pemantauan persatuan bola sepak negeri dalam menghasilkan pemain-pemain berbakat negara.

“Tanggungjawab yang dipikul oleh Dollah dengan meletakkan jawatan perlu dicontohi pihak pengurusan mahupun pembantu jurulatih kerana mereka juga memainkan peranan dalam pembentukan pasukan negara.

“Sikap pemain perlu diperbaiki, jangan hanya pentingkan gaya agar permainan yang ditunjukkan setanding,” katanya. -Kedahnews.com