Hasil Kerja Penjawat Awam Di Perlis Masih Rendah - Azlan Man

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man
KANGAR – Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata produktiviti hasil kerja kakitangan perkhidmatan awam di negeri ini masih terlalu rendah.

Beliau berkata apa yang ditulis dalam laporan penilaian tahunan sesebuah jabatan didapati tidak sama dengan pencapaian sebenar kakitangan mereka.

Antara sebab perkara ini berlaku ialah sikap kakitangan perkhidmatan awam sendiri yang tidak berdisiplin semasa menjalankan tugas, katanya kepada pemberita pada majlis perhimpunan bulanan penjawat awam yang kali ini dihoskan Jabatan Belia dan Sukan Negeri di sini, semalam.

“Ada di kalangan kakitangan yang malas bekerja, tidak komited menjalankan tugas, tidak memberi perhatian semasa bekerja, buang masa dan sibuk dengan urusan peribadi serta mengutamakan kerja lain,” katanya.

Beliau menyeru kakitangan awam agar segera berubah sikap untuk menjadi lebih rajin, kuat bekerja dan rajin berusaha.

Azlan berkata beliau mendapat tahu terdapat pakar perunding swasta yang mengemukakan cadangan tertentu untuk membantu membangunkan Perlis, tetapi mereka kemudiannya merasa kecewa dengan kelemahan tugas kakitangan perkhidmatan awam negeri.

Berucap pada perhimpunan itu, beliau menyentuh mengenai projek pembangunan yang bakal dilaksanakan termasuk pelabuhan darat di Padang Besar, pembangunan Lembah Chuping di Chuping, pembangunan Sungai Perlis dari Kuala Perlis hingga Kangar, pelabuhan bersepadu di Kuala Sungai Baru dan Kuala Sanglang serta pelabuhan maritim di Kuala Perlis.

Terdapat projek berkenaan yang telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) dan dalam perancangan dengan sokongan kerajaan pusat serta kerjasama swasta, katanya.

Azlan turut melancarkan Hari Sukan Negara peringkat negeri yang melibatkan pelbagai pertandingan sukan termasuk jalan kaki, sepak takraw, futsal, bola tampar dan bola jaring yang sambutannya diadakan serentak di seluruh negara pada 10 Okt ini. – BERNAMA