Mate S |
Berlin - Huawei Technologies dari China menampilkan model telefon pintar terbarunya, Mate S, yang mensasar pasaran pengguna mewah yang kini dikuasai Apple dan Samsung Electronics.
Mate S yang dilancarkan di pertunjukan elektronik terbesar Eropah, IFA, di Berlin, mempunyai paparan 5.5 inci, 13 mega piksel kamera belakang dan ciri keselamatan cap jari.
Syarikat elektronik China itu menyatakan, Mate S menjadi telefon pintarnya yang pertama dilengkapi paparan Force Touch yang boleh membezakan sentuhan lembut dengan sentuhan kuat membolehkan pengguna memasuki fungsi lain dengan menekan kuat.
Apple juga dijangka memperkenalkan ciri Force Touch untuk iPhones minggu depan.
Bulan lalu, Huawei menjadi syarikat telefon pintar ketiga terbesar jualan mengatasi saingan senegaranya, Lenovo, dan merancang mahu menjadi syarikat China pertama menjual lebih 100 juta telefon pintar tahun ini.
Ketika ini, Samsung menguasai 21.9 peratus pasaran diikuti Apple, 14.6 peratus manakala Huawei, 7.8 peratus.
Mate S Huawei dijangka berharga 649 euros (RM3,084) dengan versi premium RM3,557. - Reuters