Helang Merah Diakui Makin Garang, Mampu Buat Lawan Gerun

Skuad Helang Merah mampu bawa pulang Piala Malaysia ke bumi Darulaman
Saingan Piala Malaysia kembali mencetuskan debaran di hati peminat bola sepak tempatan.

Pasukan manakah bakal bergelar juara musim ini? 

Ikuti pandangan Mohd Azraai Khor Abdullah mengenai potensi dan peluang empat pasukan yang berada dalam Kumpulan A.

“Saya menjangkakan Kedah akan muncul salah satu pasukan melepasi halangan Kumpulan A untuk mengiringi Terengganu ke separuh akhir.

Saya tidak merasakan terdapat perbezaan yang ketara walaupun Kedah beraksi di Liga Perdana berbanding Terengganu dan LionsXII di Liga Super.

Piala Malaysia adalah satu kejohanan yang berlainan berbanding liga (Super dan Perdana) dan Piala FA, malah Kedah beraksi dengan baik edisi lalu (separuh akhir).

Ini adalah kejohanan yang terakhir terutamanya kepada pemain import yang pastinya mahu “menjual diri” sekiranya mahu kekal di Liga Malaysia. Mereka perlu mempamerkan kualiti yang bagus.

Saya bertambah yakin prestasi Kedah dengan kehadiran dua tonggak import pada jendela perpindahan kedua pada April.

Kehadiran dua pemain tengah Liridon Krasniqi dari Albania dan Sandro da Silva Mendonca dari Brazil menyerlahkan corak serangan pasukan.

LIRIDON Krasniqi.
Dua pemain ini digabungkan dengan pemain tempatan berjaya melakukan sesuatu yang tidak mampu dicapai import sebelum ini terutamanya dengan hantaran yang mampu membuka ruang untuk menjaringkan gol.

Penguasaan bahagian tengah dan hantaran berkualiti mula terserlah dan bukanlah tugas yang mudah untuk melakar kemenangan yang berterusan bagi memenangi Liga Perdana.

Malah sokongan penuh Presiden Persatuan Bolasepak Kedah Darul Aman (KFA) Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang mudah didampingi menambahkan lagi semangat pemain yang sentiasa diberikan suntikan semangat.

Saya turut berkeyakinan kemampuan jurulatih Tan Cheng Hoe yang sudah lama berpengalaman di pentas antarabangsa ketika bersama skuad negara diterjemahkan kepada pasukan Kedah pula.”

*INFO

NAMA PASUKAN: Kedah

GELARAN: Helang Merah

PENCAPAIAN LIGA PERDANA 2015: Juara

PENCAPAIAN PIALA MALAYSIA 2015: Separuh Akhir

JUARA PIALA MALAYSIA: Empat (1990, 1993, 2007, 2008)






Sumber: myMetro