Yusrie tidak pulang selepas keluar rumah 8 September lalu. |
ALOR SETAR - Tujuh hari sudah berlalu, namun kelibat remaja berusia 15 tahun masih lagi belum ditemui selepas keluar rumah di Flat Seri Gemilang, di sini, pada jam 8 malam, 8 September lalu.
Ibunya, Hazani Hashim, 45, berkata, anak kedua dari tiga beradik, Muhammad Yusrie Nayan, 15, yang juga seorang remaja lembam keluar rumah dengan hanya mengenakan baju t-shirt hitam dan berseluar jeans biru.
Menurutnya, anaknya yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mergong Kelas Khas ada memaklumkan hasratnya ke Perlis untuk mencari kerja beberapa hari sebelum kehilangannya.
"Mak cik menasihati Yusrie agar melupakan hasrat mengikuti rakan-rakannya bekerja di Perlis berkenaan, sebaliknya membantu mak cik di rumah bersama adik-beradik lain sahaja.
"Mak cik tak sangka Yusrie tidak pulang-pulang ke rumah selepas keluar sebentar pada hari kejadian," katanya dalam sidang media di Pejabat CRSM Kedah, semalam.
Hazani berkata, mereka berusaha mencari Yusrie di kediaman sanak saudaranya, namun kelibat Yusrie langsung tidak kelihatan sehingga menyebabkan dia tidak tidur memikirkan kehilangan anaknya.
Malah, Hazani yang bekerja sebagai tukang cuci berkata, dia bimbang perkara tidak diingini terutamanya risiko keselamatan anak lelakinya memandangkan Yusrie merupakan orang kurang upaya (OKU).
Apatah lagi, katanya, dia risau anak lelakinya diculik memandangkan heboh khabar angin mengatakan ada sindiket ambil organ, malah mendengar kes penemuan mayat ditetak di lebuh raya kelmarin.
“Disebabkan itu, mak cik terlari-lari membuka pintu setiap kali dengar motosikal ataupun kereta berhenti di hadapan rumah, dengan harapan adik akhirnya pulang semula ke rumah.
“Jikalau ada sesiapa melihat adik. Tolonglah hantar anak mak cik balik,” katanya.
Bagi mana-mana individu yang melihat ataupun memiliki maklumat mengenai remaja berkenaan diminta menghubungi talian hotline CRSM 010 5652011 bagi membantu Hazani mencari anak lelakinya itu.
Sumber: Sinar Harian