Himpunan Rakyat Bersatu: DBKL Benarkan Guna Padang Merbok 16 September Ini

Penganjur himpunan, Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka)
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dilapor telah membenarkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) untuk menggunakan Padang Merbok sebagai lokasi program himpunan anjuran persatuan itu pada 16 September ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mohd Amin Nordin Abd Aziz berkata, pertubuhan itu telah membuat permohonan untuk menggunakan Padang Merbok bagi mengadakan Himpunan Rakyat Bersatu.

"Kita meluluskan untuk Padang Merbok sahaja," katanya yang dipetik dari The Star.

Beliau dalam kenyataan tersebut turut menjelaskan bahawa pihak penganjur Bersih 4.0 sebelum ini telah ditawarkan lokasi yang sama bagi perhimpunan yang mereka adakan pada akhir Ogos lalu.

Pada Sabtu lalu, hanya satu perhimpunan yang disahkan akan diadakan pada 16 September ini, anjuran Pesaka.

Bagaimanapun, mereka yang menyertai perhimpunan tersebut dilaporkan bebas untuk memakai sebarang warna baju dan tidak terhad kepada warna merah atau hitam, warna yang akan dipakai oleh anggota Pesaka.

Penganjur kepada perhimpunan "baju merah" itu telah bersetuju untuk mengikuti Pesaka yang mengetuai perhimpunan di Padang Merbok.

Presiden Pesaka, Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, beliau mahu perhimpunan tersebut diadakan secara aman sebagai solidariti rakyat Malaysia dalam mempertahankan perpaduan, pemimpin negara dan prinsip Rukun Negara. -Kedahnews.com