Himpunan Rakyat Bersatu Di Padang Merbok Berakhir Dengan Aman

Himpunan Rakyat Bersatu
KUALA LUMPUR – “Himpunan Rakyat Bersatu” yang berlangsung meriah di Padang Merbok di sini tamat tanpa sebarang insiden buruk dan tidak diingini, lapor pelbagai media tempatan.

Peserta perhimpunan raksasa tersebut mula bersurai tertib secara beransur-ansur pada kira-kira pukul 5.30 petang Rabu apabila pihak penganjur selesai membacakan kesemua 14 resolusi.

Antara resolusi itu adalah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) atau undang-undang seumpama perlu diwujudkan semula, mempertahankan kestabilan negara dan Rukun Negara.

Resolusi perhimpunan tersebut turut menentang sebarang unsur perkauman serta politik berpihak dan menolak pembabitan warga asing dalam menguruskan hal ehwal negara ini.

Ribuan peserta yang dikenali dengan warna baju merah itu berkumpul di Padang Merbok untuk mendengar ucapan penuh bersemangat daripada beberapa pemimpin yang hadir.

Perhimpunan aman berkenaan adalah anjuran Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) dan beberapa badan kepentingan Melayu yang lain. – mStar