Pengerusi Amanah Negeri Pulau Pinang, Datuk Mujahid Yusof Rawa |
Parti Amanah Negara (Amanah) yang masih dalam proses ditubuhkan secara sah mencabar wibawa Mufti Kelantan, Datuk Shukri Mohamed untuk menjelaskan hukum berhubung Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok, esok.
Pengerusi Amanah Negeri Pulau Pinang, Datuk Mujahid Yusof Rawa dalam kenyataannya mencabar Mufti Kelantan itu menyatakan sama ada himpunan yang dibenarkan pihak berkuasa itu sama ada ia haram atau tidak.
“Ulama harus buat pendirian dalam isu perkauman dan provokasi seperti membakar patung pemimpin negara dan poster-poster yang menyerang pihak tertentu.
“Saya tidak fikir ulama harus benarkan perkara ini berlaku,” katanya yang dipetik dari portal pro-pembangkang, Malaysiakini.
Sebelum ini, Mufti Kelantan menegaskan bahawa demonstrasi jalanan, Bersih 4, yang bertujuan menghuru-harakan keadaan ibu negara, mencetus ketidakstabilan politik dengan propaganda meragukan dan bersembunyi di sebalik agenda tertentu yang negatif adalah haram dari sudut pandangannya.
Ustaz Syukri dalam pandangannya turut menegaskan bahawa Islam mengajar umatnya mentaati undang-undang dan pemerintah, bukan melakukan provokasi dan mewujudkan suasana tidak aman kepada masyarakat sebagai tanda proses.
Berbeza dengan Bersih 4, Himpunan Rakyat Bersatu pula telah mendapat kelulusan dari pihak berkuasa atas hak Akta Himpunan Aman 2011, dan pihak penganjurnya menegaskan untuk menolak sebarang bentuk provokasi termasuk berbaur perkauman serta berjanji akan berlangsung secara aman.
Dipercayai persoalan yang dilemparkan terhadap Mufti Kelantan itu mempunyai agenda tertentu oleh pihak berkepentingan bagi mempertikai pandangan beliau terhadap himpunan Bersih 4 yang tidak mendapat keizinan pihak berkuasa selain mencetus kontroversi dengan insiden memijak gambar pemimpin tertinggi parti Melayu.
Bersih 4 sebelum ini disertai oleh 90 peratus bangsa Cina telah mencetus kemarahan ramai menerusi insiden memijak gambar Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, dua tokoh kepimpinan tertinggi bagi dua parti terbesar Melayu di Malaysia, UMNO dan PAS. -Kedahnews.com