Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah |
ALOR SETAR- Bagi tempoh sidang Parlimen terakhir yang hampir berlangsung, Kelantan terus menaruh harapan pada komitmen kerajaan pusat untuk memberi laluan kepada pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Persendirian berkaitan pelaksanaan hudud.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan Kelantan mengharapkan Kerajaan Persekutuan menunaikan komitmen mereka setelah tidak mendapat peluang pada sesi Parlimen yang lalu.
Kata beliau, kesungguhan kerajaan Kelantan untuk realisasikan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) di negeri itu tidak hilang begitu sahaja, sebaliknya sedang berusaha membolehkan RUU Persendirian itu dibentangkan pada sesi Parlimen terdekat ini.
“Bagi pihak kita semua sudah siap, cuma kita menunggu persetujuan daripada kerajaan persekutuan sahaja untuk bentangkan,” katanya di Kota Bharu, yang dipetik dari Sinar Harian.
Terdahulu beliau merasmikan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Kelantan yang dimeriahkan dengan perbarisan 58 kontinjen simbolik kemerdekaan Malaysia, di perkarangan Stadium Sultan Muhammad IV, kelmarin.
Hadir sama di majlis berkenaan ialah Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Zarondin Mat Amin.
Mohd Amar yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud berkata, pihaknya akan bermesyuarat tiga bulan lagi.
Pada sesi Dewan Rakyat sebelum ini, RUU Persendirian berkaitan hudud tidak dapat dibentangkan berikutan tidak cukup masa.
Pindaan Kanun Jenayah Syariah 11 Kelantan 1993/2015 dapat persetujuan sebulat suara semua wakil rakyat dalam sidang Dun Kelantan pada 16 Mac lalu. - Kedahnews.com