Hujan Lebat Berterusan, 32 Penduduk Yan Terpaksa Pindah Ke Pusat Banjir

Mokhairuddin (berdiri empat, kanan) bergambar kenangan bersama sebahagian mangsa banjir sewaktu melawat ke pusat pemindahan mangsa banjir Sungai Malai, semalam.
YAN -  Seramai 32 penduduk di Kampung Sungai Malai, di sini, terpaksa ditempatkan di pusat pemindahan mangsa banjir buat sementara waktu.

Masing-masing yang terdiri daripada sembilan lelaki, 11 wanita, enam kanak-kanak lelaki dan enam kanak-kanak perempuan dipindahkan ke Surau Sungai Malai bermula jam 8 malam, kelmarin.

Difahamkan, kejadian hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu bersama keadaan air pasang laut dan sungai antara faktor yang menyebabkan banjir kilat berlaku.

Seorang penduduk, Abdul Wahab Isa, 75, berkata, kejadian banjir kilat sering berlaku di kawasan tersebut sejak puluhan tahun lalu.

“Saya menetap di sini sudah lebih 50 tahun dan boleh dikatakan setiap tahun pasti berlaku banjir antara dua hingga empat kali setahun. Bila berlaku banjir pasti kami kena pindah.

“Tetapi selepas projek pembesaran sungai dilakukan pada tahun 2009, kejadian banjir di kawasan ini sudah tidak lagi berlaku,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Bagaimanapun, setelah lima tahun berlalu, kejadian banjir kembali berulang buat pertama kali pada Khamis.

“Saya memang tidak sangka air akan naik sebab sudah lama tidak banjir. Kira-kira jam 12 tengah hari, air sudah naik ke paras lutut.

“Kemudian kami diarahkan pindah ke pusat pemindahan banjir pada waktu malam atas faktor keselamatan,” katanya.

Menurut sumber Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Daerah Yan, terdapat tiga perkampungan terlibat banjir iaitu Kampung Teroi Bukit, Titi Teras dan Sungai Malai.

Bacaan paras ketinggian air di Kampung Teroi Bukit dan Titi Teras pada jam 4.20 petang, kelmarin ialah pada paras 0.5 meter, manakala di Kampung Sungai Malai ialah 0.6 meter.

Bagaimanapun, bacaan paras ketinggian air di ketiga-tiga perkampungan tersebut kembali normal pada jam 8 pagi, semalam iaitu 0.1 meter.

Sementara itu, Penghulu Mukim Yan, Mokhairuddin Mahamad berkata, beliau dimaklumkan mengenai kejadian banjir melibatkan tujuh keluarga itu kira-kira jam 5 petang, kelmarin.

“Terdapat beberapa kawasan yang dalam pemerhatian iaitu di Batas Ubi, Titi Teras, Kampung Teroi Bukit dan Sungai Malai kerana kawasan tersebut merupakan kawasan yang sering berlaku banjir.

“Kedudukan geografi kawasan perkampungan tersebut juga berada di kawasan rendah dan berisiko tinggi berlaku banjir apabila air pasang laut dan sungai bertembung,” katanya.

Mokhairuddin yang mewakili seluruh mangsa banjir turut mengucapkan terima kasih kepada pihak polis daerah Yan, JPAM daerah Yan serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang memberi bantuan awal kepada mangsa banjir.

Sumber: Sinar Harian