Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah |
Raja Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah dalam satu titah baginda mengesahkan bahawa petikan titah yang dikaitkan dengan Sultan Johor sebelum ini adalah fitnah dari pihak tertentu yang berkepentingan
Melalui laman Facebooknya semalam, Raja Zarith Sofiah juga menyertakan salinan titah palsu yang didakwa dikeluarkan oleh Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan yang tersebar dan viral di laman sosial sebelum ini.
"Sila ambil perhatian: DYMM Sultan Johor tidak bertitah dan mengeluarkan kenyataan seperti yang tertera. Ia adalah palsu. Tolong sebarkan," tulis Raja Zarith Sofiah.
Titah palsu yang tersebar itu pula menulis kononnya Sultan Johor telah bertitah, "Kerajaan Umno perlu berhenti memperdayakan rakyat Malaysia dengan segala tipu helah."
Sebelum ini, Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin juga telah bertindak menafikan kesahihan titah tersebut dan bertegas untuk mengambil tindakan sewajarnya ke atas individu yang bertanggungjawab.
Sehingga kini, tiada sebarang tindakan terhadap dalang yang bertanggungjawab terhadap fitnah yang dilakukan itu termasuk pihak yang menyebarkan tohmahan tersebut di laman-laman sosial, termasuk Facebook dan rangkaian aplikasi Whatsapp. -Kedahnews.com