Syed Mohd Ashraf menunjukkan cincin batu yang dijual arwah bapanya dan menjadi sumber pendapatan keluarga |
BANDAR BAHARU - Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib yang menimpa seorang ibu tunggal apabila kehilangan suami akibat serangan jantung pada Ogos lalu.
Noraniza Maidin Bacha, 43, yang mempunyai enam anak berumur di antara lapan bulan hingga 18 tahun sebelum ini hanya bergantung pada pendapatan arwah suaminya yang bekerja sebagai penjual cincin.
Menurutnya, arwah suaminya tidak membenarkan dia bekerja kerana anak-anak masih kecil dan menyara hidup mereka dengan menjalankan perniagaan berkenaan.
“Pendapatannya juga tak tetap, kadangkala RM50 sehari dan kadangkala kurang, namun ketika itu syukur kami boleh membesar dan menyekolahkan anak,” katanya kepada Sinar Harian.
Noraniza berkata, anak sulungnya, Syed Mohd Ashraf Badrol Muner, 18, juga terpaksa mengorbankan hasrat untuk sambung belajar dan membantu keluarganya untuk menampung perbelanjaan.
“Nasib baik anak saya yang sulung itu ambil keputusan nak bekerja dan menolong arwah bapanya berniaga cincin di pekan hari dekat sini.
“Sedikit sebanyak, dia tahu bagaimana nak ikat batu cincin dan buat cincin, boleh juga dia teruskan perniagaan arwah bapanya,” katanya.
Bagaimanapun Noraniza berkata, dia kini buntu untuk mencari pekerjaan baru memandangkan mempunyai anak yang masih kecil dan tidak mampu membayar kos mengasuh.
“Bayangkan sudah lama saya tak bekerja, tiba-tiba sekelip mata tempat bergantung kami sekeluarga hilang. Memang ada niat nak cari kerja tapi anak-anak saya nak minta siapa jaga,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Mohd Ashraf berkata, dia yang dulu bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah dekat sini terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ayahnya yang sakit.
“Dulu saya ada kerja, tapi terpaksa berhenti sebab nak uruskan ayah yang sakit. Nak harap kepada emak dan adik-adik, mereka tak larat nak angkat ayah pergi tandas.
“Jadi saya korbankan saja, sekarang ini pun saya bercadang nak sambung perniagaan ayah tapi bimbang nak bawa kereta lama ayah itu sebab lesen tak ada. Nak ambil lesen pun tak ada modal,” katanya.
Kepada sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam: 08022020408698 di atas nama Noraniza Maidin Bacha atau menghubungi menerusi talian 011-24051673.
Sumber: Sinar Harian