Ilya Teringin Nak Himpun Semua Otai Senario Dalam Satu Kumpulan


Pelawak Ilya sedang dalam proses memujuk kesemua ahli Senario untuk bergabung semula sebagai sebuah kumpulan.

Ilya atau nama sebenarnya, Ilya Buang, 45, berkata, dia sedang merancang sebuah projek khas bersama kumpulan itu pada tahun hadapan selain ingin merakamkan single terbaharu Senario.

"Saya sudah mengutarakan hasrat ini kepada semua ahli Senario dan setakat ini, saya, Saiful Apek dan Hamdan bersetuju untuk bergabung semula bagi projek khas dan single terbaharu kami.

"Bagaimanapun saya sedang lagi memujuk Azlee, Lan Pet-Pet, Shamsul Ghau Ghau dan Wahid untuk turut serta memandangkan mereka semua pun ada komitmen masing-masing," katanya kepada mStar Online.

Antara ahli Senario. Dari Kiri; Azlee, Mazlan, Yasin dan Wahid.
Ilya dan Hamdan bergandingan dalam filem Pontianak Menangis.

Tambah Ilya, lagu itu nanti turut mendapat sentuhannya sebagai penulis lirik dan komposer.

"Senario sebelum ini terkenal dengan lagu kemasyarakatan dan berunsurkan nasihat dan itu akan saya kekalkan untuk lagu terbaharu nanti dan berharap ia direalisasikan dengan penglibatan kesemua ahli Senario," ujarnya.

Dalam pada itu, Ilya berkata, Senario sentiasa berada dekat dihatinya biarpun sudah lama meninggalkan kumpulan itu.

Kata Ilya, kenangan manis bersama kesemua anggota kumpulan itu tidak pernah dilupakan dan mengakui merindui saat-saat bersama Senario.

"Sehingga ke hari ini saya masih belum melupakan Senario kerana terlalu banyak kenangan manis bersama mereka semua.

"Atas sebab itu juga saya bersama beberapa ahli lain ingin menghidupkan semula Senario," jelasnya.


Sementara itu, Ilya berkata, buat masa ini dia lebih banyak melakukan kerja di belakang tabir dan ia memberi lebih kepuasan kepadanya.

Pun begitu kata Ilya, dia tidak keberatan untuk menerima sebarang tawaran berlakon sekiranya ia bersesuaian dengannya.

Ilya bakal muncul dengan filem terbaharunya berjudul Pontianak Menangis yang akan berada di pawagam pada 1 Oktober ini.