Imigresen Kedah Berkas 26 PATI Bangladesh, Myanmar Di Alor Setar


ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 26 Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati) warga Myanmar dan Bangladesh dalam 'Ops Sapu' di sekitar Alor Setar, awal pagi tadi.
    
Pengarahnya, Mohamad Yusri Hashim berkata operasi dijalankan di beberapa‎ rumah sekitar Jalan Putra dan Lorong Titi Siam bermula 12.35 pagi itu, melibatkan pemeriksaan terhadap 34 warga asing dan enam tempatan.
    
Hasilnya, sembilan lelaki Myanmar dan 17 lelaki Bangladesh berumur antara 17 dan 36 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan Imigresen di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002), katanya di sini hari ini.
    
Kesemua Pati, kini ditempatkan di lokap Imigresen negeri di Kompleks‎ Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk siasatan lanjut sebelum dipindahkan ke Depoh Imigresen Belantik, Sik. - Bernama