Imigresen Kedah "Mengamuk" Di Sungai Petani, 36 PATI Dicekup

SUNGAI PETANI – Buruh remaja berusia 15 tahun antara 36 pendatang asing tanpa izin (Pati)  yang ditahan bekerja dalam sektor pembinaan di dua lokasi berasingan dalam Ops Bersepadu, di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, kesemua warga asing yang ditahan berusia lingkungan 15 hingga 45 tahun.

Menurutnya, selain warga asing yang sedang bekerja di tapak pembinaan dikenal pasti di Pinang Tunggal dan Taman Batik, Sungai Petani, tiga lelaki tempatan turut ditahan dalam serbuan jam 11 pagi itu.

“Tiga lelaki tempatan itu ditahan mengikut Seksyen 56 (1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) atas kesalahan melindungi warga asing yang lakukan kesalahan,” katanya.

Beliau berkata, dua lelaki berusia 44 tahun dan seorang lagi berusia 55 tahun.

Antara warga asing yang ditahan di dua lokasi berasingan dalam Ops Bersepadu kelmarin.
Mohamad Yusri berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 118 lelaki di tapak berkenaan di mana 33 daripadanya diperiksa di lokasi pertama manakala selebihnya di lokasi kedua.

“Pemeriksaan awal mendapati 13 warga asing terdiri daripada warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia ditahan akibat tiada dokumen perjalanan yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Dua lelaki dari Bangladesh pula ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas lawatan.

“Manakala 21 lelaki warga asing terdiri daripada warga Bangladesh dan Indonesia pula ditahan dan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan,” katanya.

Kesemua warga asing ditahan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri Alor Setar untuk siasatan sebelum diserah ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik Sik.

Operasi mendapat kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Kesihatan, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan.

Sumber: Sinar Harian