Beberapa warga asing disoal siasat dalam Ops Belanja di premis perniagaan di Sungai Korok, baru-baru ini. |
JITRA - Dua lelaki dan seorang wanita Myanmar bersama dua wanita warga Indonesia ditahan kerana melakukan pelbagai kesalahan imigresen di sebuah premis perniagaan borong dan runcit di Pusat Pertumbuhan Desa, Sungai Korok, di sini, baru-baru ini.
Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, hasil maklumat daripada orang ramai, pihaknya bertindak mengadakan Ops Belanja bermula dari jam 1.45 petang.
Menurutnya, operasi disertai 14 anggota diketuai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kedah, Yusrazif Wan Yusoh.
"Kami membuat pemeriksaan ke atas enam orang daripada pelbagai warganegara termasuk rakyat tempatan dan pada masa itu mereka sedang bekerja di premis berkenaan.
"Mereka yang ditahan berumur antara 23 hingga 35 tahun dan seorang lelaki warga tempatan berumur 47 tahun juga turut ditahan," katanya.
Siasatan awal mendapati semua warga Mynmar disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002) kerana kesalahan tiada pas atau permit yang sah.
Seorang wanita Indonesia disiasat kerana tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas lawatan dan akan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (c) akta sama manakala seorang lagi disiasat mengikut Perkara 39 (b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas lawatan.
“Penduduk tempatan pula ditahan kerana melindungi warga asing yang melakukan kesalahan imigresen dan akan disiasat mengikut Seksyen 56 (1) (d) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).
“Kesemua mereka yang ditahan akan dibawa ke lokap imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan dan kemudiannya akan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen, Belantik, Sik,” katanya.
Mohamad Yusri berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan orang ramai dapat bekerjasama dan menyampaikan maklumat kepada pihaknya bagi membanteras aktiviti pendatang haram di negeri ini.
Sumber: Sinar Harian