Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR - Impian 20 individu menunaikan umrah tidak kesampaian selepas menjadi mangsa penipuan syarikat yang menguruskan ibadah itu awal tahun ini.
Timbalan Presiden Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr Lee Nan Sang yang bertindak sebagai wakil kepada pengadu, Normi Mustapha, 47, mendedahkan 20 individu itu kerugian hampir RM100,000 selepas diperdaya syarikat berkenaan.
"Saya berpendapat tindakan yang dilakukan syarikat itu tidak bermoral kerana ia dilihat menipu pelanggan yang telah mengeluarkan ribuan ringgit untuk menunaikan umrah.
"Malah selepas mendapat aduan kes ini daripada pengadu, kami turut memberi peluang kepada wakil syarikat itu dengan mengatur pertemuan bersama mangsa untuk menyelesaikan perkara ini dengan baik dan membayar kembali wang berkenaan, tetapi beliau gagal hadir," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menemani wakil pengadu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya di sini, Selasa.
Nan Sang berkata, setakat ini, pihaknya telah menerima lima aduan berhubung kes sama sejak awal tahun ini.
Sehubungan itu, beliau menyarankan umat Islam yang ingin menunaikan ibadah umrah mahupun haji untuk menyemak status syarikat yang menguruskannya sama ada ia berdaftar atau sebaliknya.
Dalam pada itu, Presiden LPKPM, Datuk Seri Saharuddin Awang Yahaya menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas bagi mengelak lebih ramai mangsa ditipu syarikat tidak bertanggungjawab itu.
"Selain itu, saya ingin menasihatkan umat Islam supaya tidak terpedaya dengan pakej harga murah serendah RM3,000 yang ditawarkan beberapa syarikat mahupun agensi kerana pada hemat saya, pakej menunaikan umrah ketika ini berharga RM5,000 ke atas, bukannya semurah itu," katanya.
Sementara itu, mangsa penipuan syarikat itu, Normi berkata beliau tertarik membeli pakej berharga RM4,800 seorang yang ditawarkan syarikat yang beroperasi di Kuala Terengganu itu selepas diperkenalkan rakannya yang mempunyai seorang teman yang bertindak sebagai wakil syarikat itu.
"Saya menyedari menjadi mangsa penipuan setelah mereka tidak memberi tiket penerbangan dan visa yang diminta sebelum kami dijadualkan terbang ke Tanah Suci pada akhir Januari lalu," katanya sambil memberitahu kesemua 20 mangsa terlibat terdiri daripada ahli keluarganya.
"Oleh itu saya tampil membuat laporan polis berhubung kes penipuan ini memandangkan saya bersama LPKPM sudah memberi tempoh yang secukupnya kepada wakil syarikat berkenaan membayar kembali, namun beliau gagal berbuat demikian," katanya. - Bernama