PAMERAN kereta api laju diadakan oleh syarikat China di Jakarta, bulan lalu. |
Jakarta - Indonesia semalam menangguhkan pengumuman pemenang satu persaingan sengit antara China dan Jepun untuk mendapatkan tender membina landasan kereta api laju pertama negara itu.
Tokyo dan Beijing sebelum ini berulang kali menghantar perwakilan peringkat tinggi untuk melobi kerajaan Indonesia bagi mendapatkan tender membina landasan kereta api sejauh 150 kilometer itu yang akan menghubungkan Jakarta dengan Bandung.
Presiden Joko Widodo sebelum ini dijangka mengumumkan pemenang itu awal minggu ini.
Bagaimanapun, Setiausaha Kabinet Pramono Anung berkata, Jokowi merancang membuat keputusan itu berdasarkan kajian terhadap cadangan kedua-dua negara berkenaan oleh juruperunding dan pasukan menteri Kabinet.
“Presiden melanjutkan tempoh kajian sehingga 7 September bagi memastikan proses itu lebih adil,” kata Pramono kepada wartawan.
Bagaimanapun, menurutnya, pengumuman pemenang tender itu mungkin dibuat bila-bila masa selepas tarikh berkenaan.
Dua sumber kerajaan sebelum ini berkata, Indonesia lebih cenderung untuk menyerahkan kontrak bernilai berbilion dolar itu kepada China kerana cadangan yang dikemukakannya dilihat kurang membebankan dari segi kewangan.
Jika China memperoleh tender itu, beberapa syarikat milik kerajaan Indonesia akan terbabit dalam konsortium dengan syarikat dari Beijing. - Reuters