Insiden Depan Petaling Street, Mohd Najib Mahu PDRM Siasat

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Perdana Menteri, Datuk Seri najib Tun Razak menegaskan bahawa pihak polis perlu menyiasat insiden kekecohan di hadapan pintu gerbang Jalan Petaling yang berlaku di luar kawasan Himpunan Rakyat Bersatu di Padang Merbok, semalam.

Mohd Najib yang menyampaikan mesej melalui laman Twitter itu bagaimanapun berkata perhimpunan yang berlangsung di Padang Merbok di ibu negara, berjalan secara aman tanpa melibatkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Saya dimaklumkan bahawa perhimpunan di KL berakhir secara aman kecuali insiden itu. PDRM (polis) perlu menyiasat," katanya dalam akaun Twitternya, semalam.


Ketika perhimpunan berjalan lancar di padang Merbok, sekumpulan pemuda yang dikatakan dari peserta himpunan itu dikatakan telah cuba merempuh kawasan perniagaan di Jalan Petaling sehingga pasukan Polis Simpanan Persekutuan (FRU) terpaksa melepaskan tembakan meriam air bagi menyuraikan mereka.

Perdana Menteri, yang menyifatkan insiden kekecohan itu tidak sepatutnya berlaku menegaskan bahawa semua peserta perlu mematuhi setiap arahan yang diberikan oleh pihak berkuasa.

Penganjur himpunan tersebut yang diketuai oleh Persekutuan Silat Kebangsaan (Pesaka), bagaimanapun, tidak mahu berkait dengan kumpulan itu dan menegaskan kumpulan terbabit perlu menanggung sendiri tindakan degil mereka tidak mengikut peringatan yang diberi sebelum himpunan berkenaan.

Perhimpunan itu dianjurkan sebagai reaksi balas terhadap perhimpunan Bersih 4 di kawasan sekitar Dataran Merdeka di sini pada 29 dan 30 Ogos lalu, menjelaskan suara sebenar rakyat Malaysia yang sebelum ini mendiamkan diri. - Kedahnews.com