Insiden Rempuhan Di Mina, Pope Francis Lahir Rasa Simpati

Pope Francis (kiri) ketika berada di New York, khamis lalu.
RENTETAN insiden rempuhan berdarah yang berlaku di Makkah, Arab Saudi, pemimpin kerohanian masyarakat penganut Kristian, Pope Francis turut melahirkan rasa simpati kepada semua mangsa yang terlibat.

Beliau yang memberi ucapan di St. Patricks Cathedral pada Khamis telah mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua Muslim serta menzahirkan rasa simpati kepada mangsa tragedi yang berlaku di Mina itu.

“Saya terfikirkan mereka semua. Saya dapat rasakan musibah yang melanda mereka di Makkah,” katanya secara spontan tanpa dirancang di Vatican City yang kemudian dipetik oleh pelbagai media tempatan.

Kejadian yang mengorbankan lebih 700 nyawa itu merupakan antara kemalangan yang terburuk pernah berlaku. Walau bagaimanapun, tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terlibat dalam insiden tersebut.

Menurut seorang aktivis Islam, Linda Sarsour, kenyataan terbuka Pope Francis itu menunjukkan sikap mesranya terhadap sesebuah agama lain yang sering difitnah akhir-akhir ini.

“Pope Francis merupakan contoh serta melambangkan cinta dan maruah untuk semua masyarakat,” kata Linda kepada sebuah agensi berita tempatan.

“Walaupun kebanyakan pemimpin lain telah berpaling tadah kepada agama Islam dan memilih untuk memburuk-burukkan komuniti ini, Pope Francis memberi kesedaran kepada kita semua bahawa dunia ini adalah hak bersama dan sifat kemanusiaan itu penting,” tambahnya.

Apa-apa pun, semoga semua jemaah yang terkorban dalam insiden itu ditempatkan bersama-sama orang yang beriman. – Agensi