Gambar Hiasan |
SUNGAI PETANI – Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda semalam, melupuskan 585 set komputer yang diubah suai menjadi mesin judi, di Pusat Pelupusan Sampah Semeling, dekat sini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Supt Mohd Sabri Muhamad atau Ahmad berkata, kesemua set komputer terbabit adalah barang rampasan melibatkan kes judi di daerah Kuala Muda, bagi tempoh 2010 sehingga 2012.
“Kita telah mendapat arahan mahkamah bagi pelupusan barang kes mengikut Hukuman Tetap Ketua Polis Negara (HTKPN) D207, yang mana set komputer terbabit telah dirampas dan siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 telah selesai dijalankan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, nilai keseluruhan set kumputer yang dilupuskan hari ini adalah sebanyak RM70,200.
Mohd Sabri berkata, pelupusan itu adalah kali kedua dilakukan tahun ini yang mana pelupusan kali pertama dibuat pada 27 Mei lalu, melibatkan 155 set komputer. – BERNAMA