Gambar Hiasan |
RAMAI dalam kalangan umat Islam memilih untuk menunaikan fardu haji pada usia persaraan iaitu 55 tahun ke atas. Alasan lazim untuk tidak menyegerakan ibadah haji ketika usia muda adalah belum mendapat seru, anak-anak masih bersekolah atau banyak tanggungjawab yang bersifat duniawi perlu diselesaikan terlebih dahulu.
Bagaimanapun, sejak Kerajaan Arab Saudi menetapkan kuota jemaah haji mengikut jumlah penduduk sesebuah negara ekoran daripada tragedi terowong al-Muassim pada 2 Julai 1990, umat Islam mula mengubah fikiran dan ingin menunaikan fardu haji secepat mungkin. Dalam tragedi itu sebanyak 19 rakyat Malaysia daripada 1,426 jemaah terkorban.
Sejak dikenakan kuota itu, Tabung Haji (TH) memberi syarat berdasarkan “yang mendaftar dahulu didahulukan” mengikut tarikh dan masa pendaftaran. Sekiranya seseorang itu mendaftar pada usia kanak-kanak atau remaja, peluang baginya untuk dijemput ke rumah Allah SWT ketika usianya masih muda amatlah cerah.
Banyak ganjaran dan keistimewaan yang diperoleh jika menunaikan haji pada usia muda. Di sini saya ingin berkongsi pengalaman menunaikan haji pada usia awal 30 tahun bersama-sama arwah ibu saya yang ketika itu berumur 65 tahun.
Saya masih teringat lagi ketika bermalam di Mina pada 11,12 dan 13 Zulhijah (hari-hari Tasyriq) untuk melakukan lontaran di ketiga-tiga jamrah iaitu Jamrah Al-Ula, Jamrah Al-Wusta dan Jamrah Al-Aqabah. Ketika melontar batu di salah sebuah jamrah itu, saya terpaksa mendukung ibu saya yang berbadan kecil dan rendah.
Saya mengangkatnya daripada bahagian belakang supaya lontarannya sampai pada sasaran dan ketika itu terlalu ramai jemaah yang berpusu-pusu sehingga ibu saya sukar mendapatkan ruang untuk melontar. Ketika itu saya sangat risau kerana jika tersilap langkah dia boleh terjatuh dan dipijak oleh jemaah lain yang tidak putus-putus datang untuk melontar.
Sebelum itu awal-awal lagi saya telah membuat lontaran itu bersendirian. Dugaan yang saya hadapi ketika itu amatlah berat di mana saya hampir-hampir terjatuh kerana dihimpit oleh beberapa lelaki berbadan tegap daripada pelbagai bangsa dan usia bagi menghampiri ruang melontar.
Sebagai seorang wanita muda ketika itu, saya rasa bertuah kerana berjaya melakukan ibadah haji sebaik mungkin. Ketika di sana, faktor usia atau jantina tidak menjadi hitungan, apa yang penting mampu melakukan ibadah haji itu dengan penuh semangat di samping tidak sekali-kali takut dengan kehadiran ribuan jemaah di tempat ibadat.
Sepanjang berada di Mekah dan Madinah, saya sentiasa bertenaga, bersemangat kental selain cekal untuk melengkap dan menunaikan fardu haji bersama-sama ibu dengan sebaik mungkin. Mengapa saya katakan begitu ialah kerana ketika itu usia saya masih muda dan dalam hati kecil saya berkata, jika kali ini aku tidak berjaya menunaikan fardu haji dengan sempurna seperti yang dikehendaki, pada tahun-tahun akan datang aku boleh datang lagi ke sini.
Alhamdulillah, saya berjaya menunaikan haji bersama-sama ibu tercinta dan pulang dengan selamat ke tanah air selepas hampir 40 hari berada di Mekah dan Madinah walaupun pada masa itu keadaan kecoh berikutan tragedi para jemaah berhimpit-himpit, bersesak-sesak sehingga ramai yang terkorban di terowong al-Muassim.
Memandangkan ibadah haji adalah wajib ke atas setiap Muslim yang telah mempunyai kemampuan daripada segi perbelanjaan, tubuh yang sihat, ilmu yang mencukupi dan tiada gangguan dalam perjalanan, maka hendaklah segera menunaikan haji tanpa berlengah-lengah.
Pesan Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Sesiapa yang mempunyai bekalan dan kenderaan yang boleh menyampaikannya ke Baitullah, tetapi dia masih tidak menunaikan haji (dengan ketiadaan uzur syarie sehingga dia meninggal dunia) maka tiada halangan baginya mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani.” (Hadis At-Tirmizi dan Al-Baihaqi).
Sumber: Utusan