Talak akan gugur jika disebut secara jelas sama ada dengan niat atau bergurau. Demikianlah seriusnya kesan lafaz soreh (secara nyata) oleh suami terhadap isteri. Dengan perkataan itu maka mahligai perkahwinan yang dibina atas dasar cinta dan suka sama suka berkubur.
Demikian sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Tiga perkara yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh dianggap bersungguh-sungguh dan yang dilakukan dengan bergurau (main-main) adalah dianggap bersungguh-sungguh, iaitu nikah, talak dan rujuk.” (Riwayat at-Tirmizi)
Secara mudah, talak adalah pernyataan, sikap atau perbuatan untuk melepaskan ikatan pernikahan. Kuasa talak ini adalah dalam tangan suami. Ia boleh juga dikatakan sebagai putusnya hubungan perkahwinan suami dan isteri dalam waktu tertentu atau selamanya. Talak juga disebut oleh Baginda SAW sebagai perkara halal yang sangat dimurkai Allah. (Sunan Abu Daud)
Biasanya perceraian berlaku akibat tiada lagi persefahaman antara suami isteri. Namun apa yang berlaku dalam kes perkahwinan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli agak berbeza. Ia natijah bai’ah sebab politik ekoran beliau menyertai barisan kepemimpinan Parti Pekerja.
Dalam bai’ah tersebut, setiap wakil rakyat Pas di Kelantan yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.
Perkara itu terkandung dalam lafaz bai’ah atau sumpah taat setia yang dibuat setiap wakil rakyat Pas di negeri ini sejak 2004.
Mengulas isu ini, Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad mengesahkan perkahwinan Dr. Mohd. Hatta dengan isterinya gugur talak tiga kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah Pas negeri itu.
Dalam masa yang sama, kata beliau, perkahwinan itu tidak boleh dirujuk semula melainkan isteri kepada wakil rakyat tersebut berkahwin dengan mana-mana individu dan bercerai.
Inilah bahana apabila talak pun dipolitikkan. Isteri bukanlah barang dagangan yang boleh dibuat cagaran waima untuk tujuan apa pun. Sebabnya, perkahwinan adalah komitmen yang serius di antara lelaki dan perempuan. Tujuannya menghalalkan perhubungan tersebut dan hidup bersama sepanjang hayat.
Ini sebagaimana dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan... (ar-Rum: 21)
Apabila terjadi perceraian begini, tidak mudah untuk kembali hidup bersama. Ini kerana perceraian talak tiga adalah talak bain kubra. Suami tidak boleh rujuk walau dengan apa cara sekalipun sama ada semasa idah atau selepas idah melainkan selepas melalui lima peringkat;
i. Idah dengan suami yang menceraikannya telah selesai.
ii. Selepas selesai idah, bekas isteri berkahwin dengan lelaki lain dengan akad yang sah.
iii.Bekas isteri disetubuhi oleh suami baharunya dengan persetubuhan yang sebenar.
iv. Suami baharu menceraikannya.
v. Idahnya dengan suami baharu telah selesai.
Ringkasnya, ia bukanlah semudah istilah yang popular dalam masyarakat iaitu ‘cina buta’. Oleh itu, berwaspadalah. Janganlah para suami bermain-main dengan talak sama ada berbentuk bai’ah atau lafaz kinayah. Kalau sudah menggigit jari, ketika itu menyesal tidak berguna lagi.
Sumber: Utusan