#Islam: Dimensi Sebenar Agihan Zakat Perlu Teliti, Tidak Semudah A, B, C...

ANTARA bantuan institusi zakat adalah membiayai kos rawatan hemodialisis pesakit buah pinggang. - GAMBAR HIASAN
Ramai umat Islam sering menganggap pihak pengurusan zakat tidak menjalankan kerja-kerja agihan zakat dengan cekap dan berkesan. Jadi, bolehkah ustaz perjelaskan maksud sebenar agihan zakat dan perbandingannya dengan kutipan zakat?

Jawapan:

Benar, ramai orang sering beranggapan sedemikian. Maka, dalam kesempatan ini ingin saya perjelaskan dengan lebih terperinci, apakah makna sebenar agihan zakat.

Agihan zakat secara mudahnya bermaksud, ‘mengambil harta daripada kalangan orang kaya yang wajib menunaikan zakat dan mengagihkannya kembali kepada orang yang memerlukan mengikut hukum serta peraturan tertentu yang ditetapkan oleh syarak.

Hal ini selaras dengan apa yang pernah disabdakan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW kepada Muaz bin Jabal RA ketika mengutuskannya ke Yaman, iaitu: 
“Ajarkanlah bahawa Allah memerintahkan kepada mereka supaya membayar zakat harta mereka, diambil daripada orang yang kaya antara mereka dan diberikan kepada orang miskin (dalam kalangan mereka).” - Riwayat Bukhari
Oleh itu, secara umumnya terdapat tiga pihak yang terlibat dalam pengagihan zakat iaitu pengeluar zakat, pengutip zakat (amil) dan penerima zakat. Peranan pengagih zakat yang sering dilabelkan sebagai tidak cekap. 

Sedangkan urusan itu tidak boleh dilakukan dengan sewenang-wenangnya kerana melibatkan hak bagi kalangan yang berhak (asnaf).

Agihan zakat tidak boleh dilakukan secara lewa kerana ia merupakan ibadah yang sangat khusus sifatnya. 

Kesilapan dalam pengagihannya boleh mempengaruhi statusnya, sama ada sah atau tidak, afdal atau tidak dan pelbagai lagi implikasi hukum di sisi syarak, termasuklah berdosa jika diagihkan tanpa kawalan oleh para pengagihnya.

Sumber: Utusan