#Islam: Ilmu, Kuasa Dan Rahsia Antara Keduanya...

Gambar Hiasan
ILMU itu kuasa. Pengaruh kuasa yang terbit dari ilmu seseorang sangat bergantung kepada sejauh dan sedalam mana liputan ilmunya. Semakin lengkap dan sempurna ilmu seseorang itu, semakin luas dan mengakar rangkuman kuasanya. 

Namun, tiada seorang insan pun, apatah lagi makhluk melata lain, yang memiliki ilmu serba meliputi; justeru, tiada pula didapati dalam kalangan mereka itu pemilik kuasa yang sungguh menyeluruh.

Sememangnya diyakini dalam akidah Islam bahawa sesungguhnya hanya Allah yang Maha Tahu lagi Maha Kuasa. Sesungguhnya kuasa ilmu sangat berkait dengan rahsia yang sebelumnya terlindung tetapi kemudiannya tersingkap kepada si empunya ilmu itu.

Kerana itu, gerak-daya (atau proses) dan hasil yang berkait dengan ilmu digambarkan dengan kata-kata yang membawa maksud “penyingkapan tabir atau hijab” atau “pendedahan” seperti kashf, inkishaf, tajalli, discovery, disclosure, unveiling, revelation, dan yang seumpamanya.

Bergantung pada hakikat rahsia yang tersingkap itu, sesiapa yang mendapat tahu tentang sesuatu rahsia sememangnya mempunyai kuasa yang tersendiri ke atas si pemilik rahsia. Namun, suatu yang sering dilupakan, bersama rahsia yang tersingkap itu dan kuasa yang terbit mengiringinya juga adalah amanah dan tanggungjawab agar bersikap seadil-adilnya terhadap rahsia itu dan si pemilik asal rahsia tersebut.

Bagi orang yang beriman, amanah ini sesungguhnya intisari akhlak yang akan dipertanggungjawabkan atas si empunya ilmu perihal rahsia itu pada Hari Perhitungan kelak.

Kepentingan ilmu ini semakin ketara di tengah-tengah keghairahan pelbagai pihak merebut atau mempertahankan kuasa. Dalam suasana sedemikian, kuasa dan penguasaan cenderung dilihat dan difahami sebagai sesuatu yang berlaku ke atas pihak lain. 

Jarang-jarang kuasa dan penguasaan ditekankan sebagai sesuatu yang perlu ditumpukan terhadap diri sendiri. Malah, seringkali ilmu perihal diri sendiri dianggap mudah, remeh ataupun sudah selesai. Benarkah begitu?


Sekiranya benar, kenapakah setiap kita sering mengalami saat-saat kekesalan berhubung perkara yang sepatutnya dipilih untuk dilakukan oleh diri kita pada ketika yang wajar sebelum ini namun tiada diri kita perbuat? 

Kita, misalnya, secara sedar melafazkan kata-kata yang tidak sepatutnya yang kemudiannya kita kesali. Jika benar kita berkuasa mengendali diri kita pada tiap waktu, termasuk kehendak, lidah dan mulut kita, bagaimana mungkin kekesalan seumpama itu boleh timbul pada waktu-waktu kemudiannya?

Kita juga terlalu kerap mengambil satu-satu tindakan dalam sedar yang akhirnya tatkala ditinjau kembali sebenarnya bukan yang sewajarnya! Ini jelas membayangkan bahawa dalam diri kita sendiri boleh berlaku perselisihan diri, seakan-akan dua diri bertarung untuk menguasai sesama sendiri.

Senarai tingkah-laku itu, baik yang dizahirkan sebagai perlakuan anggota tubuh-badan kita atau yang terpendam dalam diri sebagai perbuatan hati, memang panjang sehingga melibatkan pelbagai kezaliman yang dilakukan ke atas insan-insan dan makhluk-makhluk lain.

Kerana itu, antara risalah utama para Nabi dan Rasul serta alim-ulama tulen yang mewarisi amanat para insan mulia yang terpilih itu adalah memandu perjuangan tiada berputusan memimpin diri sendiri dalam membuat pilihan yang betul dan menjalani kehidupan baik yang membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaan hakiki.

Malah, sebagaimana yang ditegaskan oleh Nabi Muhammad SAW: 
“Sesungguhnya Aku diutuskan untuk melengkap sempurnakan budi pekerti yang mulia (makarim al-akhlaq)!”
*Mohd. Zaidi Ismail, PENULIS ialah Felo Utama/Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar (KIAS), Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)/Utusan