Gambar Hiasan |
IBADAT korban adalah ibadat yang dituntut pada 10 Zulhijjah dan juga hari-hari tasyriq. Ramai umat Islam bersemangat untuk melakukan ibadat ini. Berikut beberapa panduan agar ibadat ini menjadi lebih baik.
IBADAT KORBAN SYARIKAT
Terdapat entiti dan badan tertentu turut sama melakukan ibadat korban. Contohnya syarikat perniagaan membuat ibadat korban di beberapa buah masjid. Begitu juga wakil rakyat, Menteri Besar atau Perdana Menteri.
Persoalannya ialah siapakah individu yang melakukan ibadat korban? Apabila syarikat memberi 10 ekor lembu korban, siapakah individu yang membuat ibadat korban? Apabila menteri besar menyerahkan lembu korban kepada setiap masjid dalam sesebuah negeri, siapakah yang melakukan ibadah korban?
Adakah menteri besar yang melakukan ibadah korban? Namun duit untuk membeli haiwan korban bukanlah duit peribadi beliau sebaliknya duit kerajaan negeri. Dalam isu ini, fikah Islam menetapkan bahawa ibadat korban dilakukan oleh individu.
Dalam al-Minhaj, Imam Nawawi menyatakan yang bermaksud: “Unta dan lembu bagi tujuh (individu), manakala kambing bagi satu (individu)”. Syarikat, badan berkanun, kerajaan negeri dan kerajaan pusat bukanlah individu.
Oleh itu, pemberian haiwan korban bukanlah bermaksud ia haiwan korban sebaliknya ia sekadar haiwan sumbangan sahaja. Pihak yang menerima haiwan korban menjadi pemilik haiwan tersebut.
Maka pihak penerima haiwan seperti masjid sewajarnya menguruskan haiwan tersebut sebagai haiwan korban. Caranya dengan menawarkan haiwan korban kepada para jemaah surau atau masjid dengan bayaran yang tertentu.
PERKONGSIAN DALAM HAIWAN KORBAN
Seekor kambing memadai bagi seorang individu sahaja dalam ibadah korban. Namun bagi lembu dan kerbau, ia memadai bagi tujuh individu. Maka dalam seekor lembu atau kerbau, ada tujuh bahagian yang boleh dikongsi bersama dalam ibadah korban.
Namun begitu, ada yang berkongsi dengan niat ibadah yang berbeza. Contohnya, ada yang ingin melakukan ibadah korban, akikah dan ada yang sekadar ingin mengambil dagingnya sahaja. Adakah perkongsian ini dibenarkan?
Bagi menjelaskan isu ini, Imam Nawawi dalam al-Minhaj dan huraiannya dalam al-Siraj al-Wahhaj menyatakan maksudnya: “(Memadai) unta dan lembu bagi tujuh individu (sama ada mereka sepakat dalam jenis ibadat atau berbeza).”
Justeru, tiada tegahan untuk berkongsi ibadah seperti korban dan akikah sempena Hari Raya Korban. Ya, mungkin terdapat pendapat ulama yang tidak bersetuju, namun kita meraikan perbezaan pendapat dalam isu khilaf ulama.
DAGING KORBAN DIMASAK SEMUANYA
Dalam tatacara daging korban, ada terdapat pandangan untuk memasak daging korban semuanya untuk jamuan makan. Tatacara ini adalah tidak bertepatan dengan hukum syariah. Daging korban hendaklah diagihkan. Nas al-Quran menyatakan maksudnya:
“Maka makanlah daripadanya dan berilah makan kepada yang meminta dan tidak meminta,”. (Surah al-Hajj: 36).
Berdasarkan ayat ini, Imam Nawawi menyatakan dalam al-Minhaj dan huraian al-Siraj al-Wahhaj maksudnya: “Dan pandangan yang lebih sahih adalah wajib bersedekah dengan sebahagiannya (walaupun dengan kadar yang sedikit. Hanya sesungguhnya disyaratkan bahawa daging itu dalam keadaan mentah).”
Daging korban boleh dimasak, namun bukan semuanya boleh dimasak. Syarat utama ialah sedekah daging korban dalam keadaan mentah. Bukan semua perlu disedekahkan namun kadar yang sedikit sudah memadai. Daging yang disedekahkan itu pula dalam keadaan mentah. Ia hendaklah daripada bahagian peserta ibadah korban.
UPAH KEPADA TUKANG SEMBELIH
Tukang sembelih harus menerima upah. Namun tukang sembelih tidak harus diberikan upah daripada daging korban atas nama upah. Upah kepada tukang sembelih jika ada hendaklah diberikan daripada sumber yang lain. Selepas itu, jika daging korban hendak diagihkan kepada tukang sembelih maka tidak mengapa. Namun ia bukan dalam bentuk upah.
HAIWAN KORBAN NAZAR MENJADI CACAT SEBELUM DISEMBELIH
Ibadat korban hukum asalnya adalah sunat muakad. Sunat muakad ialah sunat yang dituntut. Namun begitu, ibadah korban menjadi wajib dengan nazar dan penentuan. Apabila seseorang bernazar maka ibadah korban menjadi wajib. Contohnya seseorang berkata: “Kerana Allah maka ke atas saya untuk melakukan ibadah korban seekor kambing.”
Dalam lafaz sebegini, beliau sudah bernazar untuk melakukan ibadah korban. Maka hukum ibadat korban bukan lagi sekadar sunat tetapi sudah menjadi wajib. Begitu juga, ibadah korban menjadi wajib apabila seseorang Muslim menentukan haiwan yang akan dikorbankan. Contohnya beliau berkata: “Kerana Allah maka ke atas saya untuk melakukan ibadah korban dengan kambing ini.”
Jika haiwan korban yang ditentukan itu cacat dan sebagainya sebelum disembelih, maka tidak mengapa. Sembelihan korban tetap dilakukan walaupun haiwan itu sudah cacat. Ini kerana haiwan korban telah ditentukan. Jika haiwan korban itu mati sebelum waktu korban, maka tidak mengapa juga dan tidak perlu diganti.
IBADAH KORBAN DENGAN AYAM
Tidak sah ibadat korban dengan ayam. Namun wujud nukilan pendapat daripada Ibn ‘Abbas RA bahawa sah haiwan korban walaupun dengan ayam. Maka pendapat ini tidak diamalkan dalam masyarakat kita.
Namun bagi yang amat tidak mampu tetapi tetap ingin menyembelih, maka bolehlah mereka membeli ayam dan menyembelih ayam. Ia sekadar sembelihan. Jika ada pahala ibadah korban, ia kurniaan daripada Allah. Namun pendapat ini tidaklah sewajarnya diamalkan secara rasmi dan muktamad sehingga diuar-uarkan dalam iklan masjid dan surau.
LARANGAN MEMOTONG KUKU DAN BULU
Dalam riwayat hadis, terdapat pedoman dalam perkara ini. Pedoman tersebut adalah agar orang yang ingin melakukan ibadat korban untuk tidak memotong rambutnya, mencukur misainya, menggunting janggutnya dan memotong kukunya. Masanya bermula 1 Zulhijjah sehingga haiwan korban disembelih.
Jika disembelih pada 12 Zulhijjah, maka selepas sembelihan haiwan maka baharulah wajar dilakukan perkara yang dilarang tadi. Namun larangan dalam hadis tersebut bukanlah satu perkara wajib. Ia sekadar sunat bagi orang yang ingin melakukan ibadat korban.
Sumber: Utusan