#Islam: Lelaki Mandi Hadas Tanpa Seurat Benang Di Tubuh...

Gambar Hiasan
Bagi seorang lelaki, adakah mereka dibolehkan melakukan mandi hadas tanpa menutup badan mereka dengan seurat benang sekalipun?

OSMAN, Kuala Lumpur

Syarat mandi hadas ialah niat dan meratakan air ke seluruh badan. Jika terdapat kekotoran yang melekat di badan dan menyebabkan air tidak kena kulit, maka hendaklah dibuang terlebih dulu kotoran atau benda asing itu.

Mandi tanpa menutup aurat adalah makruh jika berseorangan dan haram jika bersama orang ramai kerana aurat yang terdedah.
Rasulullah pernah ditanya sahabat; “Wahai Nabi Allah. Aurat kita, manakah yang harus kita tutup dan manakah yang boleh kita nampakkan?” Nabi menjawab: “Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba (wanita) mu.” 
Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apabila sekelompok orang sedang berkumpul bersama?” Nabi menjawab: “Jika engkau mampu agar auratmu tidak dilihat oleh seorang pun maka (usahakan) jangan sampai ada orang yang boleh melihatnya.” 
Sahabat bertanya: “Wahai Nabi Allah, apabila salah seorang daripada kita bersendirian?” Nabi menjawab: “Allah lebih berhak bagi dia untuk malu terhadap-Nya daripada (malu) terhadap manusia.” (Hadis Riwayat At-Tirmidzi).
Pendapat Imam al-Bukhari menyatakan, “Orang yang mandi berseorangan dalam keadaan bersendirian, dan orang yang menutup aurat, maka menutup aurat adalah lebih baik.”

Justeru, sah mandi dalam keadaan telanjang tetapi hendaklah tidak di tempat terbuka atau dapat dilihat oleh orang lain.

Begitu juga sepatutnya seorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri di hadapan orang lain.

Rasulullah bersabda bermaksud; 
“Malu itu sebahagian daripada Iman.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)


Sumber: myMetro