#Islam: Pecah Stereotaip Gadis Berhijab, Bukti Bukan Halangan Tempuh Cabaran

Noreen Rahman
IBARAT memecahkan stereotaip negatif, seorang wanita Islam British yang bertudung telah mengambil bahagian dalam pertandingan lumba kapal layar terpanjang di dunia. Usaha itu bertujuan membuktikan bahawa hijab tidak pernah menjadi penghadang dalam kehidupan wanita Muslim.

“Saya bertudung, tunaikan solat dan tetap menyahut cabaran dalam kehidupan ini kerana saya ada keupayaan berbuat demikian,” kata Noreen Rahman, 33, kepada NBC, London, baru-baru ini.

Guru Matematik dari Walthamstow, timur London itu nekad untuk menghapuskan tanggapan negatif yang melingkari kepercayaan masyarakat sekeliling selama ini dan juga isu hijab dengan mengambil bahagian dalam pertumbaan kapal layar, 10th Clipper Round The World Yacht Race.

Noreen merupakan seorang daripada 700 peserta dalam kalangan 12 pasukan yang akan menghabiskan masa setahun mengelilingi dunia dalam pertandingan yang dibahagikan kepada lapan peringkat itu.

Perlumbaan yang bermula pada hujung bulan lalu itu dimulakan sebaik sahaja tamatnya majlis perasmian yang berlangsung bersebelahan Tower Bridge, Sungai Thames, London.

Peserta dari 44 buah negara itu memulakan pelayaran sejauh 40,000 batu nautika dari dermaga St. Katherine, London. Kira-kira 40 peratus daripada peserta yang akan menempuh peringkat pertama sejauh 6,000 batu nautika ke Rio De Janeiro, Brazil tidak mempunyai pengalaman belayar sebelum ini.
NOREEN Rahman (empat dari kiri) bergambar bersama rakan sepasukan dan Pengarah Clipper Race, Justin Taylor (bertali leher) dan Pengarah Dermaga Marina St. Katharine, William Bowman (lima dari kanan) sebelum pertandingan bermula. Gambar PRESS ASSOCIATION
Perlumbaan kapal layar terpanjang di dunia itu menyaksikan guru, doktor, pekerja teknologi maklumat dan pelajar yang berumur antara 18 dan 74 tahun mengambil bahagian.

Bagi cabaran sukar tersebut, Noreen yang akan belayar merentasi Laut Atlantik merupakan anak kapal pasukan Great Britain.

“Saya seorang wanita Pakistan Muslim yang tradisional dan saya mahu semua orang tahu bahawa kami tidak mahu dihadkan oleh tradisi masyarakat kami,” katanya kepada The Telegraph.

“Saya mahu kanak-kanak perempuan yang saya ajar setiap hari mengetahui bahawa mereka boleh mengambil bahagian dalam cabaran dunia, seperti belayar di lautan,” katanya yang menjelaskan bahawa Islam melihat hijab sebagai kod wajib berpakaian, bukan simbol agama seseorang.

Clipper Round The World Yacht Race.
Islam merupakan agama kedua terbesar berdasarkan keputusan daripada Bancian United Kingdom Tahun 2011 yang menyatakan bahawa penduduk beragama Islam adalah 2.8 juta orang atau 4.4 peratus daripada jumlah penduduk.

Islam menetapkan peraturan-peraturan yang mengimbangi antara tanggungjawab lelaki dan hak wanita. Wanita diiktiraf dalam Islam sebagai rakan kongsi dan mempunyai hak sama rata dengan lelaki dalam kehidupan manusia.


Sumber: Utusan