#Islam: Sejauh Manakah Umat Islam Di Malaysia #SehatiSejiwa?

Gambar Hiasan
ISLAM datang dengan membawa sifat kemerdekaan, iaitu menyeru manusia supaya membebaskan diri daripada sebarang bentuk amalan dan kepercayaan yang menyimpang daripada ajaran Islam. Oleh sebab itulah kemerdekaan umat Islam bermula daripada roh tauhid atau akidah dengan kalimah syahadah.

Dalam mendepani arus kemodenan dunia sekarang, kecanggihan teknologi maklumat dan media baharu memainkan peranan amat penting kerana semua maklumat yang diterima hanya di hujung jari sahaja.

Maklumat atau berita yang disebarkan secara berleluasa melalui aplikasi media sosial kepada masyarakat ada yang benar dan banyak juga palsu.

Justeru, umat Islam perlu berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan berita yang diterima. Perlu terlebih dahulu tabayyun iaitu menyiasat, meneliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenaran fakta serta ketepatan maklumat bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku.

Firman Allah:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (Surah Al- Hujurat:6)
Perselisihan yang berlaku akibat daripada kekaburan maklumat atau berita yang diperoleh menjadikan seluruh masyarakat hidup dalam keadaan syak wasangka sesama sendiri.

Sedarlah bahawa terdapat undang-undang di negara kita yang memantau penyebaran maklumat palsu dan adalah salah di sisi undang-undang jika maklumat itu dimuat naik dan disebarkan kepada umum.

ANASIR JAHAT

Begitu juga dengan kekeliruan konsep jihad yang kini tersebar luas di media sosial. Ajakan berjihad itu terutama akhir-akhir ini termasuk di bumi Syria dan juga Iraq lebih-lebih di mana wujudnya kumpulan militan yang dikenali sebagai IS.

Satu laporan menyebut kira-kira 30,000 sukarelawan dari seluruh dunia telah menyertai kumpulan tersebut.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu juga menyatakan sekurang-kurangnya 15,000 militan dari negara asing menyertai pertempuran di Syria.

Kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad bersama-sama kumpulan itu berpunca daripada kekeliruan dalam memahami konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut hukum syarak sehingga boleh membawa kekeliruan.

Keliruan ini juga menyebabkan kita terjebak dalam pelbagai pertelingkahan hingga lupa kepada maksud kemerdekaan yang merupakan satu nikmat.

Kemerdekaan juga berkait rapat dengan usaha untuk memulih dan mengekalkan perpaduan yang bermaksud menjalin hubungan sesama manusia dengan tujuan saling memahami serta menghormati antara satu sama lain. Dalam kata lain kita perlu sehati sejiwa.

Allah memerintahkan kita untuk bersatu dan berpegang teguh dengan agama Islam sebagaimana firman-Nya: 
“Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan antara hati kamu (sehingga bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara.” (Ali-Imran ayat:103).
Pendekatan yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW amat unik iaitu bagi mewujudkan kesatuan ummah dengan menyeru umat Islam mengukuhkan perpaduan dan persefahaman antara satu sama lain.

Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan contoh dan cara menunaikan kewajipan terhadap agama, masyarakat dan negara dengan mengukuhkan persefahaman serta perpaduan penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai kaum, bangsa, agama dan keturunan melalui Piagam Madinah.

KESEDERHANAAN ASAS PERSEFAHAMAN

Faktor utama yang menjadi penyebab kepada wujudnya persefahaman antara kita adalah sikap kesederhanaan dan keseimbangan.

Kesederhanaan merujuk kepada pelaksanaan sesuatu perkara yang dilakukan secara berhikmah dan seimbang bagi mengelak berlaku kekerasan serta kezaliman ke atas hak asasi kaum dan agama, pada masa sama agama Islam dapat dimartabatkan.

Persefahaman adalah roh kekuatan Islam kerana ia mewujudkan perasaan kasih sayang, persaudaraan, kedamaian dalam hubungan kekeluargaan dan masyarakat.

Rasulullah SAW bersabda: 
“Dan demi nyawaku dalam genggaman-Nya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman sepenuhnya dan kamu tidak beriman sehingga kamu sayang-menyayangi antara kamu, apakah kamu suka aku tunjukkan sesuatu yang mana jika kamu membuatnya nescaya kamu akan berkasih-sayang, ia adalah memberi salam di kalangan kamu.” - Riwayat Muslim.
Untuk itu Beberapa rumusan boleh kita ambil sebagai pengajaran, iaitu:
  1. Umat Islam diseru supaya tidak menyalah gunakan kecanggihan teknologi.
  2. Setiap berita yang diterima hendaklah dipastikan terlebih dahulu kebenarannya sebelum dipercayai atau menyebarkannya kepada orang lain.
  3. Kecenderungan dan keghairahan umat Islam untuk berjihad adalah berpunca daripada kekeliruan dan salah faham terhadap konsep jihad dan mati syahid yang sebenar menurut hukum syarak.
  4. Untuk mengekalkan keharmonian dan kemakmuran dalam masyarakat, kita hendaklah saling memahami dan bersatu padu serta berpegang teguh kepada ajaran Islam.
  5. Hendaklah kita sentiasa bersyukur di atas segala nikmat Allah.

Kemerdekaan merupakan antara nikmat yang dikurniakan Allah agar dapat disyukuri oleh setiap hamba-Nya yang inginkan kebebasan dan keamanan. 

Sehubungan itu, Hari Kebangsaan 2015 perlu disambut dengan amalan-amalan yang sihat, tidak bercanggah dengan ajaran Islam, tidak menghina Islam apalagi sehingga mencemari kesucian Islam.

SUMBER: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia/Utusan