Isteri Selinap Masuk Sel Penjara, Sempat Bermalam Beberapa Hari

Gambar Hiasan
Surabaya - Pegawai penjara di sini malu besar selepas seorang wanita yang dipercayai isteri banduan yang disabitkan dengan aktiviti pengganas menyelinap masuk ke bilik penjara lelaki itu dan bermalam selama beberapa hari.

Warden penjara Porong, Heri Prasetyo berkata, pegawai penjara menemui wanita berkenaan bersembunyi di tandas di bilik penjara yang didiami Abdullah Ummamity Jumaat lalu.

Abdullah dihukum penjara seumur hidup akibat disabitkan kesalahan berkaitan dengan aktiviti pengganas.

Wanita itu ditemui ketika pegawai penjara mahu memindahkan Abdullah dan tiga lagi pesalah ke penjara berasingan selepas mereka didapati mempengaruhi banduan lain.

Pegawai penjara sebelum ini pernah menemui peralatan membuat bom, buku dan bendera militan Negara Islam di bilik penjara mereka.

Tidak dapat dipastikan bagaimana peralatan membuat bom itu boleh berada di dalam penjara.

Heri memberitahu, isteri Abdullah kemungkinan tinggal di bilik penjara bersama suaminya lebih dari satu hari.

Beliau mengakui kesilapan itu berpunca daripada pengurusan penjara itu yang mempunyai 17 pengawal bagi mengawasi 1,193 banduan.

Katanya, pihak penjara bekerjasama dengan polis bagi menyiasat bagaimana wanita itu menyelinap masuk ke penjara dan kemungkinan ada pengawal yang bersubahat.

Polis menyoal siasat wanita itu sebelum dihantar pulang ke rumahnya berhampiran penjara yang disewanya sejak Abdullah ditahan pada 2007. - Agensi