Isu 3 Bintik Didakwa Kasut Kulit Babi: Ini Penjelasan BATA


Mungkin tidak keterlaluan jika kami katakan bahawa kasut keluaran Bata merupakan antara jenama popular dan favourite yang evergreen bagi sesetengah masyarakat Malaysia sejak dahulu lagi hingga ke zaman ini.

Namun, baru-baru ini kecoh jadinya di laman sosial apabila seorang pelanggan mendakwa kasut yang dijual syarikat tersebut diperbuat daripada kulit babi.

Tuduhan itu dilemparkan oleh pelanggan tersebut ekoran kasut yang dibelinya mempunyai corak tiga bintik pada bahagian tapak kasut.

“Salam…nak share…please berhati-hati beli kasut…ini kasut yang anak beli di Bata…tak perasan…tapi bila diteliti…kulit dalam tu ada 3 bintik…pig skin (kulit babi).

“Nak pulangkan…bata tak terima sebab dah terpakai 1 kali. Just nak share…sila berhati-hati…beli beg atau kasut,” tulis seorang pengguna Facebook dalam entrinya pada 12 September lalu.

Status tersebut sekali gus menjadi viral hingga dikongsi lebih 11,000 pengguna Facebook.

Susulan itu, Bata Malaysia menerusi satu kenyataan di laman Facebooknya pada Khamis tampil memperjelaskan isu tersebut dan memberi jaminan sepenuhnya kepada semua pelanggan khususnya pengguna Islam.

Menurut Bata Malaysia, pihaknya mengesahkan bahawa produk yang dikeluarkan oleh syarikat tersebut tidak mengandungi atau diperbuat daripada kulit babi seperti yang tersebar.

“Bata Malaysia mengamalkan sikap berhati-hati dalam memastikan semua koleksi kami tidak diperbuat daripada kulit babi demi menjaga sensitiviti terhadap semua pelanggan Islam kami.

“Kami begitu menghormati pelanggan Islam kami,” kata Bata Malaysia.

Mengulas mengenai corak tiga bintik yang didakwa kulit babi itu, Bata Malaysia mendakwa ia hanya salah faham dan kekeliruan terhadap corak yang direka oleh pengeluarnya.

“Ia hanya lapisan (corak) yang mengelirukan kita.

“Pihak pengedar kami telah dinasihatkan untuk tidak membuat reka bentuk yang kelihatan seperti ‘kulit babi’ yang jelas boleh memberi gambaran yang mengelirukan,” jelas Bata Malaysia lagi.


Sementara itu, Bata Malaysia berharap penjelasan yang dibuat ini dapat menggembalikan kepercayaan semua pelanggannya khusus yang beragama Islam terhadap produk keluaran mereka. -Kedahnews.com