Isu Bai'ah: Dr Hatta Dan Rakan-Rakan Boleh Berhujah Nanti Depan Allah

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) meminta semua bekas pemimpin parti itu yang mengkhianati PAS dengan menyertai Parti Amanah Negara (PAN) supaya mengingati dunia akhirat.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, bekas pemimpin PAS tersebut yang telah melafazkan bai’ah menceraikan isteri dengan talak tiga jika mengkhianati PAS semasa berada dalam parti itu kini perlu memikul taklik masing-masing.

“Ramai bertanya saya pasal wakil rakyat PAS yang berbaiah setia dengan nama Allah, kemudian lompat daripada parti PAS.

“Di akhirat nanti, bawalah hujah di hadapan Allah. Malangnya kehidupan meringan-ringankan hukum agama,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad semalam mengesahkan perkahwinan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd. Hatta Ramli dengan isterinya gugur talak tiga kerana melanggar taklik yang pernah dilafazkan dalam bai’ah Pas Kelantan.

Daud dipetik berkata, perkahwinan itu tidak boleh dirujuk semula melainkan isteri kepada wakil rakyat tersebut berkahwin dengan mana-mana individu dan bercerai.

Ia ekoran dalam bai’ah tersebut, setiap wakil rakyat Pas di ne­geri ini yang mengambil keputusan keluar parti tanpa meletakkan jawatan, secara automatik telah menceraikan isteri masing-masing dengan talak tiga.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan mengesahkan sebanyak 22 bekas pemimpinnya termasuk tujuh wakil rakyat bukan lagi ahli parti itu sebaik sahaja mereka dilaporkan berada dalam barisan kepemimpinan PAN.

Mohd. Hatta bagaimanapun enggan mengakui hakikat itu sebaliknya menegaskan hubungannya dengan isteri masih sah. -Kedahnews.com