Isu Kecoh Depan Petaling Street: "Mereka Mahu Cari Otai Reformis..."

Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Kekecohan di Jalan Petaling ketika Himpunan Rakyat Bersatu berlangsung semalam, didakwa dirancang dengan sengaja bagi mencemarkan himpunan yang berlangsung secara aman itu.

Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos berkata, beliau tidak menolak kemungkinan insiden tersebut berpunca daripada provokasi  yang dilakukan oleh Otai Reformis.

“Sebahagian kecil daripada mereka yang berada di Jalan Petaling ini sebenarnya ‘terasa’ oleh provokasi oleh Otai Reformis. Kita dapati ada risalah-risalah diedarkan kepada peserta himpunan yang seolah-olah mencabar mereka.

”Jadi saya harap polis ambil tindakan terhadap Otai Reformis jika benar provokasi ini dilakukan oleh mereka. Jangan salahkan peserta saja, tetapi polis kena cari punca mereka rempuh Jalan Petaling,” katanya dalam sidang media, di sini, hari ini.

Menurut Jamal, beliau tidak mengenali peserta di dalam insiden kekecohan tersebut dan yakin mereka bukan daripada 250 NGO yang terlibat dalam Himpunan  Rakyat Bersatu atau 'baju merah'.

“Saya tidak sokong apa yang dilakukan mereka sebab ini perhimpunan aman. Tetapi mereka ada memberitahu saya semalam, mereka bukan nak merusuh dengan peniaga Cina di Jalan Petaling.

“Sebaliknya mereka mahu cari Otai Reformis. Itu satu kemungkinan, saya pun tidak pasti. Mungkin mereka (Otai Reformis), mungkin juga ada udang di sebalik batu,” katanya.

Selain itu, katanya, tujuan peserta yang berkumpul di Jalan Petaling itu juga kerana mahu menyatakan rasa tidak puas hati terhadap perniagaan haram yang dijalankan di situ.

“Peniaga di situ menjual barang tiruan serta cakera padat lucah dan cetak rompak selama bertahun-tahun. Malah, terdapat juga peniaga yang terdiri daripada warga asing.

“Disebabkan itu, saya telah berjanji dengan mereka untuk meminta Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan agensi berkaitan ambil tindakan  tegas. Kita tidak mahu Jalan Petaling yang menjalankan perniagaan tidak bersih ini dijadikan tempat pelancongan,” katanya.

Katanya, beliau juga dimaklumkan oleh peserta terbabit bahawa mereka akan mengadakan satu lagi perhimpunan di Jalan Petaling sekiranya tiada tindakan tegas diambil terhadap peniaga di situ.

“Cuma bila itu saya tidak tahu,” katanya. Dalam pada itu, Jamal turut mencadangkan agar kawasan perniagaan di Jalan Petaling turut dibuka kepada kaum lain.

“Selama ini Jalan Petaling dikuasai kaum Cina, sebab itu kawasan itu dikatakan rasis. Apa salahnya ditambah tapak perniagaan untuk orang Melayu, India, Sabah, Sarawak dan pelbagai negeri.

“Kalau boleh biarlah Jalan Petaling ini menjadi satu petunjuk bahawa kita boleh saling berkongsi. Jangan dimonopoli satu kaum saja,” katanya.

Sumber: Sinar Harian