Isu Polis, Militia Dera Seksual Terhadap Kanak-Kanak Lelaki Tidak Wujud

Komander tertinggi tentera NATO di Afghanistan, Jeneral John Campbell
Kabul - Komander tertinggi tentera NATO di Afghanistan semalam menafikan laporan bahawa Pentagon mengarahkan askar Amerika Syarikat (AS) supaya menutup mata terhadap kejadian penderaan seksual kanak-kanak lelaki didakwa dilakukan oleh polis dan milita tempatan. 

Jeneral John Campbell yang bertanggungjawab memantau 13,000 tentera AS dan sekutunya dalam melatih askar tempatan bagi operasi antikeganasan menafikan sekeras-kerasnya laporan dikeluarkan akhbar New York Times (NYT) itu. 

“Saya sendiri bertugas beberapa kali di Afghanistan dan ingin menegaskan kejadian seperti itu tidak pernah berlaku. Polisi sedemikian tidak wujud. 

“Sebarang kejadian penderaan seksual akan dilaporkan terus kepada pihak yang berkenaan, tidak kira siapa pelakunya atau mangsa terbabit.

“Jika membabitkan orang Afghanistan, laporan diserahkan kepada saya menerusi saluran sewajarnya malah salinan turut disediakan untuk semua pihak berkaitan supaya kerajaan Afghanistan boleh mengambil tindakan sewajarnya,” katanya.

Menurutnya, dia sudah memaklumkan Presiden Afghanistan Ashraf Ghani mengenai isu berkenaan.

Laporan akhbar New York Times (NYT) Ahad lalu mendakwa tentera AS di Afghanistan diarahkan orang atasan supaya tidak menghiraukan kes penderaan seksual budak lelaki oleh komander dan polis tempatan walaupun berlaku di pangkalan tentera kerana kononnya berkaitan dengan budaya tempatan dikenali sebagai ‘bacha bazi.’

Polis Tempatan Afghanistan diwujudkan NATO untuk melawan pemberontak Taliban mempunyai reputasi buruk dan sering dituduh penduduk tempatan melakukan jenayah seperti rogol dan peras ugut.

Laporan NYT itu didakwa berdasarkan temuramah dengan beberapa askar serta ayah seorang anggota marin yang terbunuh pada 2012.

Gregory Buckley Sr dipetik berkata: “Anak saya mendakwa pegawainya mengarahkannya menutup mata kerana itu budaya tempatan.” -AFP