Keadaan kediaman dihuni keluarga berkenaan. |
KOTA SETAR - Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) tampil mengulas isu viral di laman sosial Facebook berkaitan isu orang termiskin Kampung Lubuk Besar Sik.
Ketua Bahagian Korporat Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK), Mohd Sani Harun berkata, pihak mereka membuat lawatan ke kediaman penduduk terlibat sebelum isu diviralkan.
“Sebelum ini, pihak JZNK melawat keluarga berkenaan pada 21 September sebelum ia diviralkan.
“Lawatan berkenaan dilakukan bagi mendengar sendiri kisah sebenar daripada Zainol Abidin Abu Bakar@Ishak, 36, dan isterinya,” katanya.
Mohd Sani berkata, pihaknya turut mendapatkan maklumat dari jiran berdekatan kediaman penduduk berkenaan yang juga saudara-maranya sendiri.
Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan dilakukan JZNK mendapati ada fakta tertentu diberikan, antaranya seperti jenis pekerjaan didapati agak mengelirukan mereka.
Malah, katanya, pihak mereka difahamkan lelaki berkenaan baru mendiami kediaman berkenaan selama setahun, berbanding yang diceritakan bahawa sudah tinggal lapan tahun.
Namun begitu, katanya, pihak zakat tetap menyalurkan bantuan sewajarnya, antaranya termasuk memberi bantuan sara hidup kepada mereka.
“Insya-ALLAH, pihak kami akan membuat kediamannya bagi fasa 1 tahun depan, memandangkan urusan membaiki dan membina rumah penduduk sudah selesai tahun ini.” katanya.
Katanya, diharap penjelasan mengenai isu viral di laman sosial itu dapat membantu menjelaskan status sebenar penduduk berkenaan.
Sumber: Sinar Harian