Datuk Othman Mustapha |
PUTRAJAYA – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa agar tindakan tegas diambil ke atas individu yang bertindak menampar Imam II Masjid Negara, Mohd. Zuhairee Mohd. Yatim sekali gus mengganggu solat Jumaat.
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, pihak Jakim berasa amat kesal susulan insiden malang berkenaan dan meminta siasatan terperinci dapat dibuat dengan serta merta.
“Ia membabitkan isu keselamatan orang awam, pihak Masjid Negara telah pun membuat laporan polis dan menyerahkan kes berkenaan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lebih lanjut.
“Jakim dan Masjid Negara malahan sentiasa bersedia untuk memberi kerjasama penuh dengan polis untuk membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan media.
Othman turut menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa insiden berkenaan kononnya mungkin mempunyai kaitan dengan isi kandungan khutbah Jumaat yang disampaikan sebelum solat jemaah tersebut.
“Jakim berharap agar khabar angin berhubung perkara ini yang tersebar luas menerusi media sosial tempatan dapat dihentikan dengan serta-merta,” ujar beliau lagi.
Solat Jumaat di Masjid Negara pada 18 September terbatal apabila terhenti beberapa minit dan terpaksa diulang semula berikutan Imam Keduanya, Mohd. Zuhairee, ditampar oleh salah seorang jemaah.
Insiden itu berlaku pada rakaat pertama ketika imam berusia 39 tahun itu selesai membacakan surah al-Fatihah sebelum seorang lelaki warga India tampil ke hadapan dan menampar beliau. – Agensi