Le' Medina Petisserie |
Sekiranya berkunjung ke Alor Setar, ramai yang mungkin tidak menyedari tentang rahsia keenakan makanan yang terdapat di sekitar bandaraya itu yang sememangnya lain dari yang lain.
Namun bagi mereka yang mencari kelainan citarasa tersendiri yang sukar dilupakan, restoran Le' Medina Petisserie yang terletak di Jalan Stadium, berhadapan dengan Pustaka Union sememangnya menjadi satu lokasi pilihan yang wajib.
Berkonsepkan santai keluarga, "lepaking" bersama rakan mahupun teman istimewa, Le' Medina merupakan satu pilihan yang ideal dan tepat.
Bersantai di sofa empuk dengan hiasan berkonsep Inggeris sambil menghirup Cappucino atau Cafe' Latte bersama rakan dan keluarga adalah merupakan detik-detik manis yang tidak dapat dilupakan di Le' Medina.
Menurut pemiliknya, Sharifah Alia Farhanas Syed Unan Mashri, nama Le Medina terlintas di fikirannya ketika berada di bandar Rasulullah, Madinah Al-Munawwarah, sewaktu menunaikan umrah bersama keluarganya.
"Nama tu terlintas di fikiran saya, bersempena Madinah maka ia jadi Le Medina, satu ungkapan dari bahasa Perancis yang membawa maksud, Madinah,' jelasnya ketika ditemubual Kedahnews.com secara eksklusif baru-baru ini.
Menurutnya yang lebih mesra dengan panggilan Alia, beliau pada mula berhasrat mencuba rezeki dalam dunia pastri yang diminatinya. Namun atas pandangan keluarga, Le' Medina diputuskan untuk turut menyajikan hidangan barat dan tradisi Melayu, selain kek dan pastri.
"Paling istimewa di sini ialah Mi Rebus Tulang Rusuk.
"Ramai pelanggan yang mencuba, mereka akan kembali semula ke Le' Medina untuk Mi Rebus Tulang Rusuk kami, lain dari yang lain depa kata," kata Alia.
Mi Rebus Tulang Rusuk |
Jelas Alia, resepi mi istimewa berkenaan adalah resepi tradisi keluarganya yang asli dan menjadi "wow factor" untuk menjadikan restoran yang berusia lebih 3 tahun itu terus menjadi tumpuan ramai.
Mencuba Mi Rebus Tulang Rusuk di Le' Medina, kami dapati bahawa kenyataan Alia itu bukan sekadar cakap-cakap kosong dan sememangnya hidangan itu membuatkan kami tidak akan melupakan restoran yang cukup selesa berkenaan.
Disediakan oleh Oja, seorang chef terlatih hasil didikan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, jelas sekali ia memenuhi selera para pengunjung yang tidak putus-putus singgah di Le' Medina hingga lewat malam.
"Menyediakan Mi Rebus Tulang Rusuk memerlukan kesabaran yang tinggi, teliti dan paling penting ialah memastikan pelanggan puas hati menikmatinya," kata Oja.
Oja menyediakan Chicken Grill with BBQ Saurce |
Kami yang turut mencuba hasil sentuhan Oja, "Chicken Grill with BBQ Saurce", mengaku kehebatannya menyediakan makanan barat yang mampu membuat ramai kecur air liur menikmati daging ayam yang "juicy".
Berbaloi dengan kekuatannya yang terletak pada keenakan dan keunikan sajian makanan, kami memberikan taraf 5 bintang kepada Le Medina meskipun harga makanan yang ditawarkan hanyalah sekadar di tahap 3 bintang dan sangat berpatutan.
Kepada sesiapa yang berkunjung ke Alor Setar, jangan lupa singgah di Le' Medina untuk merasa sendiri mi rebus istimewa yang mana keempukan daging tulang rusuk dan kuahnya mampu menambat selera untuk kembali berkali-kali ke restoran berkenaan. -Kedahnews.com
Cafe' Latte |
Chicken Grill with BBQ Saurce |
Espresso Vanilla |
Orang kuat Le' Medina, Sharifah Alia Farhanas (tengah), Oja (kedua dari kanan) |
Komen dari pengunjung kepada Le Medina Petisserie |
Santai dengan perhiasan yang menarik berkonsep English style |