"Jangan Ulangi Perkara Itu Lagi", Pesan Felixia Pada Parti Mat Sabu


Parti Amanah Negara (Amanah) yang dilapor mempergunakan gambar Felixia Yeap bagi tujuan politik dimaafkan bekas model majalah lucah Playboy itu, namun diberi amaran supaya tidak mengulangi perkara keji tersebut pada masa akan datang.

Menulis di laman Facebooknya, Felixia menegaskan bahawa perkara berkenaan sewajarnya tidak patut berlaku sejak dari awal kerana menggunakan gambar atau nama pihak lain tanpa izin merupakan satu kesalahan yang diketahui umum.

Tegas model berkenaan yang telah berhijrah dengan memeluk agama Islam, tindakan itu bukan saja akan menimbulkan kekeliruan, malah mampu mencetus fitnah di kalangan masyarakat.

"Dengar kata "parti" tu dah minta maaf? Baguslah macam tu. Tolong jangan ulangi perkara ini lagi.

"Anda semua sepatutnya lebih tahu untuk tidak menggunakan gambar dan nama orang lain tanpa kebenaran, persetujuan atau kelulusan mereka... saya pasti.

"Ia seperti menimbulkan fitnah seolah-olah mengatakan saya terlibat dalam parti politik, apabila saya tidak pernah terdengar mengenainya sebelum ini," tulisnya Felixia atau nama barunya, Raisyyah Rania Yeap. 


Selain itu, Felixia turut berterima kasih kepada parti tersebut kerana memadamkan gambar kontroversi yang diubah suai kononnya menunjukkan beliau menyokong parti baru dilancarkan itu.

Gambar tersebut menjadi viral di laman media sosial.



Sementara itu, Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah Melaka, Adeysham Nor memohon maaf secara terbuka kepada Felixia berhubung isu poster Anti Rasis parti itu yang menggunakan gambar model tersebut.

"Kami memohon maaf secara terbuka kepada Saudari Felixia berhubung isu ini. Pihak kami berjanji akan lebih cakna dan berhati-hati dalam menghasilkan sebarang iklan, poster dan sebagainya di masa akan datang," katanya dalam satu kenyataan.

Adeysham berkata semua status berkaitan poster tersebut telah dipadamkan dalam tempoh kurang 24 jam ia dikeluarkan selepas mendapati tidak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

"Pihak kami juga telah mengerahkan 1,000 anggota “Orange Army” untuk mengesan dan mencari poster itu di media-media baru. 

"Mana-mana poster yang dapat dikesan akan diminta untuk dipadamkan dan tidak diviralkan lagi," katanya.



Semalam, poster yang memaparkan gambar Felixia dengan kata-kata,"Saya Felixia Orang Cina & Beragama Islam" dan "Islam Rejects Racism" tersebar secara meluas di laman media sosial, dipercayai telah disebar oleh "tentera oren" dari parti yang diketuai oleh Mohamad Sabu itu.

Dilaporkan bahawa simbol Amanah turut terdapat di poster berkenaan.

Parti Amanah yang dikatakan "lebih syumul" berbanding PAS itu telah dilancarkan secara rasmi pada 16 September lalu dengan membariskan kepimpinan tertingginya terdiri daripada bekas pemimpin PAS yang tewas pada pemilihan parti itu pada muktamar yang lalu. -Kedahnews.com