Jenazah Aylan Dan Keluarga Selamat Disemadi Di Tanah Kelahirannya, Syria


ANKARA – Jenazah kanak-kanak kecil, Aylan Kurdi dan dua ahli keluarganya yang terkorban akibat bot ditumpangi mereka karam di luar pantai Turki telah selamat dikebumikan di negara kelahiran mereka di Syria.

Para pegawai kerajaan Turki menyatakan, konvoi kenderaan rasmi yang membawa jenazah Aylan dan keluarganya itu berjaya menyeberang masuk ke Kobane, sebuah bandar kecil Syria dekat sempadan Turki pada lewat Jumaat.

Si ayah, Abdullah Kurdi, turut ikut serta dalam proses pengebumian dua anak dan isterinya itu di kampung halaman mereka yang masih lagi dikuasai oleh kelompok masyarakat etnik minoriti Kurdish tersebut.

Dalam ucapan ringkas, Abdullah dengan nada sedih agak teresak-esak dilaporkan hanya mampu berkata, “Saya kini tidak lagi mempunyai masa depan. Malah masa depan saya sebenarnya telah pun hancur musnah.”


Aylan, yang berusia tiga tahun; abangnya, Galip berumur lima tahun; serta ibu mereka, Rehan, 35 tahun; meninggal dunia ketika bot dipenuhi pelarian Syria itu tenggelam dekat Pulau Kos, Greece pada 2 September lalu.

Menurut pengawal pantai Turki, sekelompok pendatang asing meninggalkan Turki awal subuh melalui Semenanjung Bodrum menuju ke Greece, namun dua bot yang mereka tumpangi karam tidak lama kemudian.

Seramai 12 mayat termasuk lima jenazah anak kecil berjaya ditemui hanyut terdampar di pantai Turki oleh anggota keselamatan negara itu dan sempat dirakamkan jurugambar media sebaik dimaklumkan nahas tersebut.


Bagaimanapun foto jasad Aylan dalam keadaan tertiarap di pinggir pantai menjadi trending di seluruh dunia, serta mencetuskan ‘kemarahan’ masyarakat antarabangsa terhadap isu konflik pelarian dan nasib mangsa perang Syria.

Kritikan tersebut kemudian menjelma menjadi semacam desakan agar Kesatuan Eropah segera melonggarkan kerenah birorasi dan melakukan tindakan kecemasan bagi menampung pendatang mencari perlindungan politik.

Setelah insiden kematian Aylan tersebar luas, polis Turki berjaya menahan empat suspek pemerdagangan manusia rakyat Syria sendiri yang disyaki aktif menjalankan kegiatan penyeludupan migran termasuk ahli keluarga Kurdi.


Puluhan ribu pelarian politik dan pendatang dari Syria dan Afrika Utara maut sepanjang tahun ini dalam usaha menyeberangi benua Eropah melalui Laut Mediterranan setelah bot mereka karam. – Agensi