Jep Sepahtu Mengaku Dah Ada Awek, Tapi Belum Sedia Nikah

Jep sering dikaitkan dengan pelakon baru, Nazeera Sardi
Meskipun umurnya sudah menjangkau usia 30-an, pelawak terkenal Jep Sepahtu mengaku tidak merasa tertekan untuk segera berkahwin sebagaimana rakan-rakan artis lain yang telah mendirikan rumah tangga.

Bagi Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin, dia masih belum bersedia dan dalam masa yang sama ingin memberi fokus kepada ibu bapa dan keluarga terlebih dahulu sebelum berkahwin.

Dalam pada itu, Jep akui sudah mempunyai teman wanita namun memilih untuk tidak mahu terlalu terbuka mengenai perkara itu kerana bimbang akan disalah anggap oleh sesetengah pihak.

“Kawan-kawan sekeliling memang kebanyakan sudah berkahwin dan mempunyai anak tetapi itu tidak membuatkan saya tertekan untuk segera menamatkan zaman bujang.

“Buat masa ini saya ingin beri perhatian kepada keluarga terlebih dahulu dan Insya-Allah selepas semuanya stabil baharu saya akan berkahwin.

“Saya ada tanggungjawab dan begitu juga dia. Soal jodoh kami pun tidak berani cakap kerana itu semua kerja Tuhan,” jelasnya sebagaimana yang dipetik dari mStar.

Mengulas mengenai kekasih hatinya, Jep meluahkan rasa syukur kerana teman wanitanya itu dapat memahami situasinya yang memerlukan masa sebelum berkahwin.

Sebelum ini, Jep sering dikaitkan dengan pelakon baru Nazeera Sardi. Bagaimanapun, masing-masing tidak pernah mendedahkan hubungan yang terjalin itu. -Kedahnews.com