ALOR SETAR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dengan kerjasama Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilaporkan telah bersiap sedia untuk melaksanakan operasi pembenihan awan susulan keadaan berjerebu melanda beberapa kawasan di negara ini.
Menurut Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau, operasi berkenaan akan dilaksanakan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tidak sihat.
Takrifan IPU tidak sihat berlaku apabila bacaannya melebihi 100 untuk tempoh 72 jam secara berterusan dan keadaan atmosfera serta awan sesuai.
"Berdasarkan perkembangan terkini, keadaan cuaca berjerebu dijangka berterusan disebabkan tiupan angin Barat Daya yang membawa asap dari kawasan yang mengalami kebakaran di Sumatera dan Kalimantan di Indonesia," katanya dalam satu kenyataan media di ibu negara.
Jelasnya lagi, berdasarkan cerapan satelit pada Jumaat menunjukkan terdapat 304 titik panas dikesan di Sumatera, Kalimantan sebanyak 25 titik panas dan Semenanjung Malaysia hanya satu.
"Peningkatan bilangan titik panas di Sumatera dan Kalimantan dan keadaan cuaca yang agak kering pada tempoh beberapa hari lepas telah mengakibatkan berlakunya keadaan jerebu yang agak teruk di Sarawak dan beberapa negeri di Semenanjung," ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan bahawa Malaysia juga dijangka mengalami cuaca kering, Monsun Barat Daya hingga hujung bulan ini.
Setakat pukul 10 malam semalam, media melaporkan bahawa sebanyak 17 kawasan mencatatkan bacaan IPU tidak sihat di seluruh negara. -Kedahnews.com