Gambar Hiasan |
KUALA LUMPUR – Pembenihan awan akan dilaksanakan selama tiga hari mulai hari ini bagi mengurangkan jerebu yang melanda beberapa kawasan di negara ini.
Pengarah Bahagian Sains Atmosfera dan Pembenihan Awan, Jabatan Meteorologi Malaysia, Maznorizan Mohamad berkata pada hari pertama, langkah itu meliputi Lembah Klang, selatan Perak, barat Pahang, Negeri Sembilan, Melaka serta selatan dan barat Sarawak.
Katanya, dua pesawat Hercules C130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) berpangkalan di Subang dan Kuching digunakan dalam operasi itu.
“Hujan dijangka berlaku selepas beberapa jam proses itu dilaksanakan dan ia boleh berlanjutan selama sejam dan diharap mampu meredakan keadaan jerebu di kawasan terlibat,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Menurutnya, proses pembenihan awan dilakukan dengan mengambil kira faktor keadaan awan, atmosfera yang sesuai dan stabil serta udara lembap pada masa ini.
Dalam pada itu, Maznorizan berkata pertukaran angin barat daya kepada angin dari arah timur dijangka berlaku lewat Jumaat.
Jelas beliau, perkembangan itu akan membantu meredakan jerebu yang dibawa angin barat daya dari kawasan berjerebu di Sumatera, Indonesia. – BERNAMA