Jerebu: Sebuah Syarikat Malaysia Antara 20 Syarikat Disiasat Indonesia


Jakarta - Satu syarikat Malaysia antara lebuh 20 syarikat sedang disiasat pihak berkuasa Indonesia berhubung kebakaran hutan di negara itu hingga menyebabkan Asia Tenggara diselubungi jerebu.

Reuters melaporkan, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar berkata: “Satu (syarikat) dari Malaysia antara yang disiasat. Kami masih memeriksa jika ada (syarikat) dari Singapura (turut terbabit).”

Polis di Riau iaitu lokasi kebakaran terburuk menyatakan syarikat minyak kelapa sawit Indonesia, Langgam Inti Hibrido, disyaki memulakan kebakaran di atas tanah miliknya hingga menyebabkan kebakaran hutan itu.

Sementara itu AFP melaporkan, polis Indonesia sudah menahan enam kakitangan syarikat yang dikatakan ada kaitan dengan kebakaran hutan di negara itu hingga menyebabkan Asia Tenggara diselubungi jerebu.

Ketua Polis Indonesia Badrodin Haiti (kiri) dan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Siti Nurbaya Bakar (kanan). - Foto Antara News
Ketua Polis Indonesia Badrodin Haiti berkata, mereka ditahan semalam di Pulau Sumatera, lokasi kebakaran hutan paling besar yang bermula dengan pembukaan tanah untuk tanaman kelapa sawit dan pokok membuat kertas.

Menurutnya, antara yang ditahan ialah eksekutif tetapi tidak memberi maklumat lanjut, termasuk nama syarikat dan mereka yang ditahan.

Jika didapati bersalah, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda berat kerana melanggar undang-undang Indonesia melarang pembakaran hutan.

"Arahan presiden amat jelas iaitu pihak berkuasa perlu tegas agar kejadian ini tidak berlaku lagi,” kata Badrodin.

Presiden Joko Widodo yang menegaskan kerajaan akan membanteras habis-habisan syarikat dan mereka yang menyebabkan kebakaran itu, mengerah lebih ramai polis dan penyiasat ke kawasan kebakaran bagi menyiasat pihak yang bertanggungjawab.

Menurut Badrodin, seramai 133 orang lagi berada dalam senarai disyaki dan bukti terhadap mereka sedang dikumpulkan. - Agensi