Jerebu Teruk: Rakyat Perlis Dinasihat Kurangkan Aktiviti Luar

Gambar Hiasan
KANGAR – Penduduk negeri ini dinasihat mengurangkan aktiviti luar berikutan keadaan jerebu sekarang.

Pengarah Kesihatan Perlis Dr Zaini Hussin berkata menyedut udara berjerebu boleh menyebabkan saluran pernafasan menjadi sesak, menghidap asma dan konjunktivitis (radang lapisan konjunktiva mata).

Beliau berkata jerebu mula dikesan melanda Perlis sejak seminggu lepas dan berterusan sehingga ke hari ini dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada 10 pagi ini, ialah 106 iaitu tidak sihat.

“Dalam keadaan sekarang, orang ramai hendaklah berada dalam bangunan, banyak minum air kosong dan memakai topeng mulut serta hidung semasa berada di luar rumah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dr Zaini berkata risalah pencegahan dan penjagaan kesihatan ketika jerebu diedarkan di semua klinik kesihatan, selain hebahan dibuat melalui media cetak dan elektronik untuk memberi kefahaman kepada orang ramai. – BERNAMA