"Jika Mereka Ada Tuhan, Mereka Tak Akan Fitnah Orang" - Ismail Sabri

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob
Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengecam pihak yang melamparkan fitnah terhadapnya berhubung sebuah klip video yang menimbulkan salah faham dan kekeliruan sehingga menyebabkan ramai yang tersalah sangka.

Kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu, tiada sebarang unsur rasuah atau kesalahan dalam tindakannya yang hanya membantu sekumpulan warga emas yang dikatakan telah ditipu seorang pemandu bas.

"Saya dalam perjalanan untuk bertemu dengan para penyokong saya dari Bera apabila mereka ini datang bertemu saya untuk mendapatkan bantuan.

"Mereka kata kumpulan yang majoritinya adalah warga emas telah ditipu oleh pemandu bas," 

"Mereka yang tuduh saya dengan perkara seperti ini tak ada Tuhan. Jika mereka ada Tuhan, mereka tak akan fitnah orang," katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Menjelaskan kedudukan sebenar mengenai klip video berdurasi tiga minit yang menunjukkan beliau membayar kepada peserta yang kini menjadi viral, Ismail berkata, beliau sebenarnya hanya bertemu dengan kumpulan yang datang untuk mendapatkan bantuan.

Beliau berkata, kumpulan dari Gopeng itu ditipu oleh pemandu bas yang didakwanya telah meminta bayaran tambahan.

Ismail menegaskan tiada unsur rasuah kerana beliau hanya membantu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi kumpulan itu.

"Saya kemudiannya dimaklumkan bahawa operator bas itu akan bertemu dengan kumpulan tersebut dan selesaikan masalah. Saya beredar tidak lama selepas itu," jelasnya lagi.

Selain itu, Ismail turut membidas mereka yang mendakwanya memberi rasuah kepada para penyokong di Himpunan Rakyat Bersatu pada 9 September lalu.

Perhimpunan yang turut dikenali sebagai Himpunan 'Baju Merah itu menyaksikan ratusan ribu peserta berhimpun di Padang Merbok bagi membantah perhimpunan Bersih 4.0. -Kedahnews.com