XAVIER Andre Justo dibawa anggota polis ke penjara Bangkok selepas mengaku bersalah atas tuduhan cubaan peras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International, bulan lalu. - Foto Aizuddin Saad |
BANGKOK - Xavier Andre Justo, rakyat Switzerland yang ditahan di penjara Bangkok selepas mengaku bersalah tuduhan peras ugut bekas majikannya, PetroSaudi International, mengaku tidak tahu pembeli maklumat yang dijualnya mempunyai agenda jahat untuk menjatuhkan sebuah kerajaan.
Justo yang sedang merancang untuk merayu hukuman tiga tahun penjara terhadapnya turut mengaku dirinya bodoh kerana tidak menyedari maklumat yang dijualnya itu akan diperguna atas tujuan politik busuk.
"Ia mungkin mudah untuk dilihat dalam imej itu, tapi saya tidak. Mereka (pembeli) mempunyai agenda politik yang saya tidak tahu. Saya tidak tahu apa yang ada dalam fail itu. Saya tidak tahu bahawa mereka berusaha untuk menjatuhkan kerajaan. Saya bodoh.
"Saya tidak menjangkakan (hukuman) selama tiga tahun," katanya yang dipetik dari The Straits Times.
Justo yang dijatuhi hukuman penjara pada 17 Ogos lalu, menjangkakan kerjasamanya dengan pihak polis dan pengakuan penuh yang dibuat mampu menukar kepada hukuman yang lebih ringan.
Dia mempunyai sehingga 17 September ini untuk memfailkan rayuan.
Sementara itu, Justo sedang mencari peguam baru, katanya dari penjara Klong Prem, Bangkok, di mana dia menjalani hukuman.
Ketika ditanya sama ada butiran pengakuan dan transkrip perbualan menerusi aplikasi Whatsapp antara dia dengan kumpulan yang membuat tawaran untuk membeli data yang dicurinya dalam perjanjian di Singapura diberikan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), dia berkata: "Saya tidak tahu."
Justo berkata, dia tidak dihubungi oleh sesiapa dari Malaysia.
Dia membidas jolokan kepadanya sebagai 'pemberi maklumat' yang menjual data yang dicuri daripada PetroSaudi, yang mengandungi butiran perjanjian antara firma tenaga Arab dan firma pelaburan Malaysia, 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
"Saya bukan pemberi maklumat," kata Justo.
Justo yang menamatkan khidmatnya di PetroSaudi pada 2011, menuntut 2.5 juta Swiss franc (RM10.9 juta) daripada Ketua Eksekutif PetroSaudi pada 2013 supaya tidak mendedahkan maklumat yang diperolehnya berkaitan syarikat itu.
Firma itu membayar Justo buat pertama kali dan enggan membayarnya lagi, sebaliknya memfailkan aduan kepada polis Thai pada Mei tahun ini. Pada Jun lalu, beliau ditahan di rumah mewahnya di pulau peranginan Koh Samui, Thailand.
Dalam temu bual eksklusif dengan The Straits Times pada 23 Julai di penjara berkenaan, Justo mendedahkan bahawa dia dijanjikan bayaran AS$2 juta (RM8.4 juta) yang mana dia tidak pernah dibayar - untuk mencuri oleh Datuk Tong Kooi Ong, pemilik The Edge Media Group.
Dia mendakwa individu yang ditemuinya berkaitan rundingan itu termasuk penyunting Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown bercakap mengenai penggunaan data untuk menjatuhkan kerajaan Malaysia dan bercakap mengenai rancangan untuk mengubah data.
Pada hari pendedahan itu, Tong dalam satu kenyataan bersama dengan penerbit Kumpulan Edge, Ho Kay Tat mengakui bahawa mereka meyakinkan Justo untuk mempercayai yang dia akan dibayar.
"Itu adalah satu-satunya cara untuk dapatkan bukti bagi mendedahkan bagaimana sekumpulan kecil rakyat Malaysia dan warga asing menipu rakyat Malaysia sebanyak AS$1.83 bilion (RM7.74 bilion), katanya sambil menyangkal dakwaan bahawa mereka mengubah suai sebarang data.
Sementara itu, Justo yang berkaki ayam dan memakai seluar pendek biru gelap dan kemeja-T biru muda berkata, dia dilayan lebih baik daripada apa yang dijangkakan di dalam penjara. "Saya makan tiga kali sehari. Saya mandi dua kali sehari. Setiap orang dari dalam penjara sehingga pegawai, sangat baik," katanya.
Sumber asal: The Straits Times/Asia News Network