Kaka Azraff dan aktor Indonesia, Nicholas Saputra |
Diberi peluang untuk berlakon bersama bintang pujaan dari Indonesia, Nicholas Saputra menerusi filem Interchange merupakan pengalaman paling bermakna buat penyanyi, pelakon dan pengacara Kaka Azraff.
Apatah lagi, filem arahan Dain Said itu memerlukan Kaka bergandingan bersama dengan aktor kacak itu dalam beberapa babak.
Menceritakan mengenai pengalamannya, Kaka mengakui berdebar dan dalam masa yang sama tidak dapat melupakan detik-detik tatkala wajahnya disentuh Nicholas.
“Walau hanya tampil sebagai cameo sahaja, namun ia pengalaman cukup besar dan bermakna buat saya kerana filem ini melibatkan kerjasama antarabangsa.
“Awalnya saya tidak tahu akan berlakon dengan Nicholas sehinggalah hari pertama di lokasi. Rasa berdegup-degup jantung ketika itu melihat Nicholas di depan mata kerana saya juga adalah peminatnya menerusi filem Ada Apa Dengan Cinta.
“Memori yang tidak boleh dilupakan ketika dia menyentuh muka saya. Perasaan ketika itu bagaikan bertemu dengan lelaki yang kita suka,” ujarnya kepada Mangga Online.
Sementara itu, Kaka memberitahu penglibatannya dalam dunia lakonan hanyalah suka-suka memandangkan keutamaannya adalah pada bidang nyanyian.
Filem Interchange yang dijangka berada di pawagan tahun depan ini turut menampilkan pelakon-pelakon hebat antaranya Shaheizy Sam, Iedil Putra, Nadiya Nisaa dan Prisia Nasution. -Kedahnews.com