Kebakaran: Jiran Melecur Selamatkan Jiran Warga Emas Di Kg Sakan, Alor Setar


ALOR SETAR - Seorang jiran melecur ketika cuba menyelamatkan warga emas lumpuh dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Sakan, Mukim Derga di sini, kira-kira jam 1.10 petang kelmarin.

Pemilik rumah, Ali Awang, 86, berkata, ketika kejadian, dia sedang tidur sebelum terjaga kerana terhidu sesuatu terbakar di dalam rumah.

Katanya, isterinya, Che Mah Man, 65, yang lumpuh turut terhidu sesuatu terbakar lalu melihat keadaan sekeliling.

"Saya dapati dinding rumah saya terbakar dan api mungkin berpunca dari litar pintas. Oleh kerana bimbang keselamatan kami berdua, saya lari keluar minta tolong dari jiran berdekatan supaya dapat menyelamatkan isteri yang terlantar di dalam rumah.

“Nasib baiklah jiran, Abdul Shukor Ahmad, 54, lari masuk ke dalam rumah lalu mengangkat isteri saya untuk dibawa keluar. Bagaimanapun dia tercedera selepas kayu terbakar dari atas rumah jatuh di belakang badannya,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Norhayati Hilman, 33, berkata, dia terpaksa membawa anaknya yang ketika itu sedang tidur di dalam buaian selepas melihat ruang tamu rumahnya dipenuhi asap.

Menurutnya, selepas terhidu sesuatu, dia terus ke ruang tamu rumahnya dan mendapati ia dipenuhi asap lalu terus mengangkat anaknya berusia tiga tahun dan membawanya  ke pintu belakang rumah.

Sementara itu, Komander Operasi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Alor Setar, Timbalan Penguasa Mohd Helmi Abu Husin berkata, kebakaran itu membabitkan dua rumah berkembar.

Katanya, seramai 16 anggota bersama empat jentera berjaya mengawal api dalam tempoh 15 minit.

"Dalam kebakaran ini, tiga orang melecur dan dua daripadanya sudah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapat rawatan. Punca kebakaran masih dalam siasatan," katanya.

Sumber: Sinar Harian