ALOR SETAR - Umat Islam di negeri ini dijemput untuk menghadiri program 'Solat Hajat Perdana Untuk Kesejahteraan, Kemakmuran dan Keamanan Negeri Kedah' di Stadium Sultan Abdul Halim di sini Khamis ini.
Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Mohd Fisol Jaafar berkata acara akan bermula pada jam 6.30 petang yang dimulakan dengan solat Maghrib, solat hajat, bacaan Yasin, solat Isyak dan forum.
Beliau berkata, solat akan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Zahir, Datuk Syeikh Roslan Abdul Halim.
"Objektif program adalah untuk memohon keberkatan dan rahmat daripada Allah S.W.T di samping bagi mendoakan kesejahteraan rakyat, memohon negeri dan rakyat agar dilimpahi dengan kemakmuran serta untuk bermunajat dan mendoakan agar rakyat dan negeri Kedah sentiasa dalam keadaan aman dan sentosa," katanya. - Bernama