Kedah Mahu Peruntukan Lebih Besar Untuk Tapak Arkeologi Di Sungai Batu

Tapak Arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang 
ALOR SETAR – Tapak Arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang dalam daerah Kuala Muda dikatakan memerlukan peruntukan lebih besar untuk dijalankan kajian dan proses ekskavasi selanjutnya.

Exco Agama, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Pelancongan dan Warisan, Kerja Raya negeri Datuk Mohd Rawi Abdul Hamid berkata kini usaha ekskavasi dan kajian di tapak arkeologi tertua di Asia Tenggara itu berjalan amat perlahan disebabkan kekangan kewangan dan mendapat peruntukan yang kecil.

“Ia bukan sekadar tapak penemuan gigi dinosaur, tetapi ia adalah tapak tamadun tertua di Asia Tenggara yang telah pun dibuktikan secara saintifiknya.

Tamadun ini sama (tua) dengan tamadun Greek,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan ‘Alor Setar Arts and Culture Festival’ pada Khamis.

Kajian saintifik yang dijalankan oleh sekumpulan pengkaji dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah membuktikan bahawa Tapak Arkeologi Sungai Batu menempatkan tamadun manusia yang berusia lebih daripada 2,000 tahun.

Beliau berkata dengan peruntukan lebih besar, usaha kajian dapat dipercepatkan dan dapat mengangkat khazanah di Sungai Batu sebagai produk pelancongan nasional.

“Jikalau negara luar berbangga dengan kewujudan candi Borubudur dan Angkor Wat yang jauh lebih muda usianya, maka Sungai Batu boleh turut dibanggakan dengan sokongan padu daripada semua pihak terutama kerajaan pusat,” katanya.

Sementara itu Mohd Rawi berkata usaha untuk ‘menimbulkan’ tinggalan kapal purba yang ditemui di Tapak Arkeologi Sungai Batu juga memerlukan peruntukan kewangan yang besar.

“Setakat ini 43 tapak arkeologi di Sungai Batu telah pun diekskavasi dan terdapat 53 lagi tapak yang sedang menunggu masa untuk diekskavasi oleh pasukan penyelidik.

“Kawasan Tamadun Sungai Batu adalah luas dan terdapat kemungkinan yang tinggi usaha ekskavasi dan kajiannya bakal menemui pelbagai lagi peninggalan dan khazanah yang bernilai tinggi untuk negara,” katanya.

Beliau berkata Majlis Perbandaran Sungai Petani akan membina pusat tiket, tandas, kawasan letak kereta dan kemudahan lain di Tapak Arkeologi Sungai Batu sebagai langkah awal menjadikannnya produk pelancongan sempena program Discover Kedah 2016. – BERNAMA